comscore
Tumpuan :
Mahkamah

[VIDEO] Lelaki mengaku bersalah rogol adik bekas teman wanita hingga hamil 

Foto: NSTP

MUAR: Seorang mekanik mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan merogol adik bekas teman wanitanya hingga hamil, bulan lalu.

Amer Hamdy Rosli, 23, yang didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Irwan Suainbon.

Berdasarkan pertuduhan, Amer didakwa merogol adik bekas teman wanitanya yang berusia 13 tahun di sebuah rumah dalam daerah ini, pada jam 5 pagi, 22 Disember lalu.

Hukuman bagi pertuduhan itu adalah tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan juga dikenakan sebatan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Danial Munir manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, pihak pendakwaan memberitahu mahkamah bahawa tiada jaminan ditawarkan terhadap tertuduh memandangkan kesalahan dilakukannya serius serta selari dengan Seksyen 56B Kanun Keseksaan.

Selepas mendengar hujahan pihak pendakwaan, mahkamah memutuskan tiada sebarang ikat jamin dibenarkan terhadap tertuduh.

Pada masa sama, mahkamah juga menetapkan 19 Februari ini untuk pihak pendakwaan menyediakan fakta kes serta menjatuhkan hukuman.

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz dilaporkan berkata, polis menahan tertuduh selepas ibu mangsa membuat laporan mengenai anaknya didakwa dirogol hingga hamil.

Katanya, sebelum kejadian itu, tertuduh yang didakwa mengikut akta ATIPSOM kerana menyeludup pendatang asing bulan lalu, merogol mangsa ketika bertandang ke rumah remaja itu.

Kejadian itu terbongkar setelah mangsa disahkan hamil melalui ujian air kencing yang dijalankan di Klinik Kesihatan Maharani, di sini selepas mangsa mengalami muntah dan demam.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini