comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Lelaki mengaku tidak bersalah larikan remaja, miliki pistol tiruan

KUALA TERENGGANU: Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas tuduhan melarikan remaja lelaki dan memiliki pistol tiruan.

Tertuduh, Mohd Zul Arifi Mohd Noor, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas dua pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Noor Mazrinie Mahmood.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa dengan niat melarikan remaja lelaki berusia 15 tahun.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh dengan niat menyebabkan mangsa dikurung secara rahsia dan salah di kedai makan tepi sebuah sekolah menengah di daerah ini, jam 3.30 petang pada 13 Jun lalu.

Tertuduh turut didakwa memiliki pistol tiruan tanpa jenama di lokasi, masa dan tarikh sama.

Tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan berdepan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang turut didakwa mengikut Seksyen 32 (2) Akta Senjata Berbahaya 1960 berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun, jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 25 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM16,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aisyah Mohamad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini