comscore
Tumpuan :
Mahkamah

[VIDEO] Lelaki OKU didakwa amang seksual remaja lelaki 

KOTA BHARU: Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) ketidakupayaan intelektual didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang remaja lelaki, 15 Mac lalu.

Bagaimanapun tertuduh, Mohamad Hafiz Al-Hilal Maula Murad, 35, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nik Habri Muhamad.

Seorang lelaki OKU Mohamad Hafiz Al-Hilal Maula Murad, 35, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang remaja lelaki. – FOTO: NSTP

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang juga penganggur didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas seorang remaja lelaki berusia 17 tahun lapan bulan ketika kejadian.

Perbuatan itu dilakukan di dalam sebuah masjid di Jalan Langgar, Kampung Langgar di sini, jam lebih kurang 2.30 petang, pada 15 Mac 2024.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan juga boleh dihukum sebat.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Siti Edabayu Subhan, manakala tertuduh diwakili peguam, Ahmad Farhan Abdul Halim.

Terdahulu, Siti Edabayu tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh kerana kejadian itu menyebabkan mangsa trauma dan demi kepentingan awam.

Katanya, sekiranya mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin, jumlah yang dicadangkan adalah RM20,000 dan tertuduh tidak boleh mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan.

Ahmad Farhan memohon mahkamah membenarkan anak guamnya diikat jamin dengan jumlah minimum dan tertuduh berjanji tidak akan mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan.

“Ibu angkat anak guam saya boleh pastikan perkara itu. Lelaki itu adalah pemegang kad OKU ketidakupayaan intelektual dan dia adalah seorang lurus bendul dan senang dipergunakan oleh orang lain.

“Anak guam saya juga penghidap kencing manis kronik dan perlu menerima rawatan di hospital sebanyak tiga kali seminggu serta kakinya mempunyai kesan hitam,” katanya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 23 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini