comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Lelaki Pakistan didakwa skodeng ‘amoi’

Tertuduh Ahmed Waqar didakwa menghendap seorang wanita di sebuah rumah di Bukit Beruang.

AYER KEROH: Seorang lelaki warga Pakistan berdepan hukuman penjara tiga tahun apabila dituduh di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini hari ini atas pertuduhan menghendap seorang wanita, tahun lalu.

Tertuduh, Ahmed Waqar, 30, hanya mengangguk faham dan mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan dan diterangkan oleh jurubahasa mahkamah.

Bagaimanapun Majistret Nabilah Nizam, tidak menerima pengakuan itu selepas beliau mendapati tertuduh tidak memahami secara tuntas pertuduhan dan hukuman dibacakan kepadanya.

Ini berikutan tertuduh terdiam apabila disoal semula beberapa kali oleh Nabilah mengenai apa yang difahaminya berhubung hukuman yang boleh dikenakan.

Tertuduh masih didapati dalam keadaan sama selepas peguamnya, Umar Zulkarnain cuba membantu dan mahkamah meminta jurubahasa membacakan pertuduhan sebanyak dua kali.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa berulang kali mengganggu seorang wanita, Chien Wen Wen, 30, dengan menghendap melalui tingkap di belakang sebuah rumah di Bukit Beruang 3, di sini yang mana dia sepatutnya mengetahui gangguan itu boleh mendatangkan ketakutan terhadap mangsa.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan menghendap mengikut Seksyen 507A (1) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 507A(3) akta sama.

Sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishhar.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dilepaskan dengan jaminan RM7,000 dengan dua penjamin warga tempatan sementara menunggu sebutan semula kes pada 26 Februari depan untuk kehadiran jurubahasa Urdu.

Tertuduh turut dikenakan syarat tambahan menyerahkan pasport untuk simpanan mahkamah; melaporkan diri di balai polis berhampiran dua bulan sekali pada minggu pertama dan ketiga serta dilarang mengganggu mangsa.

Loading...
Terkini