comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Lelaki tidak mengaku memandu di bawah pengaruh alkohol, langgar dua penunggang hingga maut

MELAKA: Pembantu kedai runcit mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini, atas tuduhan memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol dan melanggar dua penunggang motosikal hingga mati, tahun lalu.

Pertuduhan terhadap Yong Sang Kein, 37 dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Khairunnisak Hassni.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memandu kenderaan di atas jalan raya di bawah pengaruh alkohol dan menyebabkan kemalangan terhadap dua penunggang motosikal Iman Nur Azrin Noriman, 18, dan Nurul Rahimah Abdull Samad,32, sehingga mengakibatkan kematian kedua-dua mangsa.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Pulau Gadong, dekat sini, pada 17 Julai 2023, kira-kira jam 8.30 pagi.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (pindaan) 1999.

Jika disabitkan tertuduh boleh dihukum penjara minimum 10 tahun dan maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang RM50,000 dan tidak lebih RM100,000.

Tertuduh juga hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan sesuatu lesen memandu selamatempoh minimum 10 tahun dari tarikh sabitan.

Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Hakim Zamri menawarkan jaminan RM20,000 ke atas tertuduh dengan seorang penjamin.

Peguam Nur Alia Safri bagaimanapun merayu jaminan rendah dengan alasan tertuduh hanya bekerja sebagai pembantu kedai runcit dengan pendapatan RM1,500 sebulan serta menyara ibu dan kakaknya.

Majistret Khairunnisak kemudian menetapkan tertuduh dijamin RM5,000 dan mengarahkan lesen Kelas D miliknya digantung hingga kes selesai.19 Ogos depan ditetapkan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

Kes ini mendapat liputan meluas media yang melaporkan seorang kerani dan remaja lelaki terbunuh selepas motosikal yang ditunggang mereka dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di Jalan Pulau Gadong di sini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini