Tumpuan :
Mahkamah

Lelaki warga emas diperintah bela diri edar dadah 21.5kg

Seorang lelaki warga emas, Lim Boon Seng, 61, diperintah membela diri oleh Mahkamah Tinggi, Shah Alam hari ini atas dua pertuduhan mengedar dadah dengan berat keseluruhan 21.5 kilogram (kg) empat tahun lalu. FOTO NSTP

SHAH ALAM: Seorang lelaki warga emas diperintah membela diri oleh Mahkamah Tinggi hari ini atas dua pertuduhan mengedar dadah seberat 21.5 kilogram (kg), empat tahun lalu.

Hakim Datuk Seri Latifah Mohd Tahar memutuskan demikian selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie yang dihadapi Lim Boon Seng, 61 di akhir kes pendakwaan.

Tertuduh kemudian diberi tiga pilihan iaitu memberi keterangan bersumpah dari kandang saksi, memberi keterangan dari kandang tertuduh atau berdiam diri.

Peguam Jayendran kemudian memaklumkan anak guamnya memilih untuk memberikan keterangan bersumpah di kandang saksi.

Mahkamah kemudian menetapkan menetapkan 4 dan 5 Disember depan untuk prosiding bela diri.

Berdasarkan kedua-dua pertuduhan, Boon Seng didakwa bersama seorang lelaki yang telah meninggal dunia telah didapati mengedar 14,363.3 gram methamphetamine dan methylenedioxymethamphetamine seberat 7,170 gram di kawasan letak kenderaan berhadapan sebuah restoran di Subang Jaya, kira-kira jam 2.50 petang pada 24 Julai 2020.

Justeru, dia melakukan kesalahan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum dibawah Sekyen 39B(2) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dikenakan hukuman mati boleh dikenakan tidak kurang daripada 12 sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Heikal Ismail dengan enam orang saksi dipanggil sepanjang perbicaraan bermula pada 26 Februari lalu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini