comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Lelaki warga Korea Selatan dituduh guna dokumen palsu

Warga Korea Selatan, Lee Chang Whan, 33, (baju biru) dituduh di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu hari ini kerana menggunakan dokumen palsu untuk urusan kerja. FOTO: NSTP

KOTA KINABALU: Seorang lelaki warga Korea Selatan dihadapkan di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas dakwaan menggunakan dokumen palsu untuk urusan kerja pada September tahun lalu.

Tertuduh, Lee Chang Whan, 33, mengaku tidak mengaku bersalah selepas pertuduhan itu dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Stephanie Sherron Abbie.

Lee dituduh menggunakan dokumen Perjanjian Subkontrak Pindaan palsu sebagai tulen.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah syarikat di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) di Sepanggar, dekat sini, pada 22 September 2023.

Berikutan itu tertuduh berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 465 kanun yang sama.

Hukuman bagi kesalahan itu ialah penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian menetapkan 10 Jun depan untuk pengurusan kes, manakala tertuduh dibenarkan ikat jamin sebanyak RM8,000 dengan dua penjamin tempatan.

Selain itu, mahkamah turut membenarkan pasport tertuduh dikembalikan semula kepada tertuduh bagi membolehkannya memperbaharui permit kerja dan perlu diserahkan semula kepada mahkamah selepas semua proses itu selesai.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini