comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Lima hakim tentukan nasib Najib

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. – FOTO : Fail NSTP

PUTRAJAYA: Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Abdul Rahman Sebli mengetuai panel lima hakim dalam permohonan Datuk Seri Najib Razak untuk menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengesahkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Turut bersidang dalam panel itu ialah tiga Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Vernon Ong Kiat, Datuk Rhodzariah Bujang, Datuk Nordin Hassan, dan Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abu Bakar Jais.

Aturan Abu Bakar dalam panel Mahkamah Persekutuan dibenarkan mengikut peruntukan Perkara 122(2) Perlembagaan Persekutuan di mana Ketua Hakim Negara berpendapat terdapat keperluan itu selepas menimbangkan kepentingan keadilan.

Sementara itu, Najib diwakili barisan Peguam diketuai Datuk Muhammad Shafee Abdullah manakala Datuk V Sithambaram mengetuai pendakwaan selaku responden dalam semakan berkenaan.

Pendengaran semakan itu yang dibuat mengikut Peraturan 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995 akan didengar panel berlainan daripada panel lima hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat pada 24 Ogos tahun lalu yang mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.

Bekas Perdana Menteri itu mahukan mahkamah tertinggi negara supaya menyemak keputusan panel lima hakim berkenaan dengan memohon perintah supaya keputusan rayuan utama beliau diketepikan dan dilepas serta dibebaskan daripada tuduhan berkenaan.

Najib memohon rayuan berkenaan didengar korum Mahkamah Persekutuan lain yang mengandungi tidak kurang daripada tujuh hakim Mahkamah Persekutuan atau yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Beliau yang kini menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang, turut memohon hukuman ke atasnya itu ditangguhkan sementara menunggu pendengaran permohonan semakan berkenaan.

Loading...
Terkini