comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Mahkamah lepas, bebaskan dua penternak lembu dari tuduhan edar dadah, miliki pistol

KOTA BHARU: Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepas dan membebaskan dua penternak lembu dari tiga pertuduhan iaitu dua pertuduhan mengedar dadah dan memiliki sepucuk pistol, Februari lima tahun lalu.

Hakim Datuk Mohamad Abazafree Mohd Abbas membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal menimbulkan kes prima facie terhadap tertuduh, Wan Marzuki Wan Daud, 59, dan Mohd Naim Azmi, 37, di akhir pendakwaan.

“Sebelum keputusan dibuat dengan mengambil kira beberapa faktor, pihak pendakwaan gagal membuktikan dan keterangan berkenaan bercanggah.

“Rumah yang didiami oleh kedua-dua tertuduh itu boleh dimasuki oleh orang lain. Justeru, tertuduh dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan itu,” katanya.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, mereka didakwa bersama-sama mengedar dadah berbahaya jenis methamphetamine seberat 749.5 gram (g) dan heroin seberat 87.8g.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Taman Pinggiran Atira 3, belakang Sekolah Menengah Kok Lanas, di sini, jam 12.50 tengah malam, pada 25 Februari 2019.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan (KK).

Jika disabitkan kesalahan boleh dijatuhkan hukuman mati, sekiranya tidak dijatuhi hukuman mati hendaklah dipenjara seumur hidup dan tidak kurang 15 sebatan.

Mereka juga didakwa memiliki senjata api iaitu sepucuk pistol jenis Revolver bertulis 700-31 di bahagian dalamnya dengan menyalahi undang-undang di rumah yang lain di kampung sama, jam 12.10 tengah malam pada tarikh yang sama.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan dibaca bersama seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan juga disebat tidak kurang daripada enam kali.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Aida Fatimah Abd Jabar dan tertuduh pertama diwakili J Matthews dan Muhammad Farhan Ahmad Fadzil, manakala tertuduh kedua diwakili peguam Datin Norah Abu Bakar.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini