comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Mahkamah Persekutuan Dengar Rayuan Rosmah Batal Kes Rasuah Berkaitan Solar, Gugur Sri Ram 24 Mac Ini

PUTRAJAYA: Rayuan akhir Datin Seri Rosmah Mansor untuk membatalkan perbicaraan kes rasuah berkaitan projek solar hibrid dan menggugurkan Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai ketua pendakwaan dalam kes itu akan didengar di Mahkamah Persekutuan pada 24 Mac ini.

Timbalan Pendakwa Raya Poh Yih Tinn berkata tarikh pendengaran itu ditetapkan Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan Siti Hajar Mustaffa semasa pengurusan kes secara dalam talian hari ini.

“Kedua-dua pihak perlu memfailkan hujahan masing-masing pada 9 Mac ini,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Prosiding itu turut disertai peguam Datuk Jagjit Singh yang mewakili Rosmah.

Rosmah merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 6 Dis lepas yang menolak rayuannya bagi membatalkan keseluruhan perbicaraannya, dalam usaha untuk dibebaskan daripada ketiga-tiga pertuduhan serta menggugurkan Sri Ram sebagai ketua pendakwaan.

Panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Hanipah Farikullah dalam keputusan sebulat suara berkata panel hakim bersetuju dengan hujahan pendakwaan bahawa Mahkamah Jenayah tidak mempunyai bidang kuasa untuk memberi pengisytiharan yang dimohon Rosmah dan membenarkan bantahan awal pendakwaan terhadap rayuan isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu.

Permohonan Rosmah untuk membatalkan perbicaraan kes rasuah dihadapinya dan menggugurkan Sri Ram telah ditolak oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 24 Sept tahun lepas.

Rosmah kini di peringkat membela diri terhadap pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin melalui bekas pembantunya Datuk Rizal Mansor sebagai ganjaran membantu Jepak Holdings memperoleh RM1.25 bilion projek untuk melengkapkan 369 sekolah di luar bandar Sarawak dengan tenaga solar hibrid.

Perbicaraan kes itu akan bersambung 10 Jan ini dengan Najib akan memberi keterangan. – BERNAMA

Loading...
Terkini