comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Mahkamah Persekutuan tetap 15 Mac 2023 dengar permohonan batal rayuan Peguam Diraja

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan telah menetapkan 15 Mac tahun depan untuk mendengar permohonan Pendakwa Raya dan tiga lagi bagi membatalkan rayuan Peguam Diraja Jonathan Laidlaw yang berpangkalan di United Kingdom agar diterima masuk sebagai peguam cara dan peguam bela untuk mewakili Datuk Seri Najib Razak dalam kes jenayah membabitkan SRC International Sdn Bhd (SRC).

Tiga lagi ialah Jabatan Peguam Negara (AGC), Badan Peguam Malaysia dan Jawatankuasa Peguam Kuala Lumpur.

Pada hari sama, mahkamah akan mendengar permohonan Pendakwa Raya untuk mencelah dalam rayuan Laidlaw.

Perkara ini disahkan oleh peguam Badan Peguam Malaysia Annemarie Pravina Vendargon ketika dihubungi Bernama selepas prosiding pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan Suhaila Haron hari ini.

Beliau berkata kedua-dua permohonan akan didengar bersama dan prosiding mahkamah akan dijalankan secara dalam talian melalui Zoom.

Katanya kesemua pihak diarah memfailkan hujahan bertulis masing-masing selewat-lewatnya pada 28 Februari 2023.

Annemarie dan peguam Wan Arfan Wan Othman, yang mewakili Laidlaw, serta Peguam Kanan Persekutuan Noor Atiqah Zainal Abidin yang mewakili AGC serta peguam Lim Sze Han yang menyebut bagi pihak Pendakwa Raya, hadir pada prosiding pengurusan kes hari ini.

Laidlaw telah memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan selepas Mahkamah Tinggi menolak permohonan beliau untuk diterima masuk sebagai peguam cara dan peguam bela pada 21 Julai lepas.

Pendakwa Raya, yang tidak dinamakan sebagai responden dalam rayuan Laidlaw, kemudian memfailkan permohonan untuk mencelah agar dimasukkan sebagai responden keempat atas alasan ia adalah pihak dalam prosiding di Mahkamah Tinggi namun telah digugurkan secara unilateral dalam rayuan itu.

Melalui notis usul yang difailkan pada 18 November lepas, Pendakwa Raya turut memohon agar rayuan Laidlaw dibatalkan atas alasan ia bersifat akademik dan adalah penyalahgunaan proses mahkamah serta tidak dapat dipertahan.

Sementara itu, AGC, Badan Peguam Malaysia dan Jawatankuasa Peguam Kuala Lumpur yang dinamakan sebagai responden, turut memfailkan permohonan masing-masing bagi membatalkan rayuan Laidlaw.

Pada 12 Oktober lepas, Peguam Najib iaitu Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata Laidlaw akan mewakili bekas Perdana Menteri itu pada pendengaran semula rayuannya jika permohonan semakan kehakiman beliau dibenarkan oleh Mahkamah Persekutuan.

Najib, 69, kini menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan, hukuman penjara dan denda RM210 juta yang dijatuhkan ke atas beliau bagi kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd pada 23 Ogos lepas.

Permohonan semakan kehakiman Najib telah ditetapkan untuk pendengaran di Mahkamah Persekutuan selama tiga hari bermula pada 19 Januari 2023. – BERNAMA

Loading...
Terkini