comscore
Tumpuan :
Mahkamah

[VIDEO] Mahkamah Persekutuan tolak rayuan peguam cabar pengampunan Anwar

 

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini, menolak permohonan seorang peguam untuk mengembalikan saman mencabar pengampunan diraja yang diberi kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2018.

Panel tiga hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang bersidang bersama Datuk P Nallini dan Datuk Vernon Ong Lam Kiat, membuat keputusan itu secara sebulat suara.

Peguam, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz, memohon kebenaran merayu susulan keputusan Mahkamah Rayuan pada 21 September 2021 yang membenarkan rayuan Anwar untuk membatalkan saman difailkan terhadap Perdana Menteri itu dan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan.

Foto hiasan

Mohd Khairul Azam yang memfailkan saman pemula pada 26 Februari 2020 dengan menamakan Lembaga Pengampunan dan Anwar sebagai defendan.

Beliau mendakwa beberapa tindakan tidak berperlembagaan diambil bagi memastikan Perdana Menteri menerima pengampunan yang membebaskannya dari penjara susulan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Peguam itu mendakwa, pengampunan penuh yang diberikan kepada Anwar oleh Yang di-Pertuan Agong bercanggah Perkara 42(4) dan (5) Perlembagaan Persekutuan kerana kuasa pengampunan hendaklah dilaksanakan atas nasihat Lembaga Pengampunan.

Ketika itu, katanya, Lembaga Pengampunan belum dibentuk dengan sempurna berikutan negara baru selesai menjalankan PRU-14 pada 9 Mei 2018 dan dalam proses membentuk kerajaan baharu.

Pada 21 September 2020, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Anwar dan Lembaga Pengampunan untuk membatalkan saman pemula selepas memutuskan Mohd Khairul Azam mempunyai locus standi (hak di sisi undang-undang) untuk memulakan saman itu.

Ia diputuskan atas alasan beliau ahli masyarakat umum dan berkelayakan sebagai peguam serta wujud isu yang boleh dibicarakan dan perlu didengar sepenuhnya.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Anwar dengan memutuskan keputusan itu dibuat berdasarkan pelaksanaan hak pengampunan diraja yang tidak dapat diubah atau disahkan oleh mahkamah.

Loading...
Terkini