comscore
Tumpuan :
Mahkamah

[VIDEO] Mahkamah Pilihan Raya Terengganu keluar waran tangkap terhadap EXCO Terengganu 

 

KUALA TERENGGANU: Gara-gara gagal hadir memberi keterangan perbicaraan Petisyen Pilihan Raya bagi Parlimen Marang, Mahkamah Pilihan Raya Terengganu mengeluarkan waran tangkap terhadap Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Terengganu, Mohd Nor Hamzah.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Hassan Abdul Ghani yang bersidang sebagai Hakim Pilihan Raya mengeluarkan perintah itu selepas peguam pempetisyen, Muhammad Amin Othman memohon satu waran tangkap dikeluarkan terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payong.

Hassan ketika prosiding kelmarin (Selasa) mengarahkan Mohd Nor hadir semula ke mahkamah hari ini untuk menyambung memberikan keterangannya.Bagaimanapun, Mohd Nor gagal hadir ke mahkamah dan perbicaraan bagi petisyen pilihan raya Marang akan disambung pada 19 Mac ini.

Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 12 Februari lalu menolak bantahan awal yang dikemukakan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang untuk membatalkan petisyen keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi Parlimen Marang yang difailkan calon Barisan Nasional.

Hassan kemudian menetapkan 6 hingga 21 Mac sebagai tarikh perbicaraan penuh bagi petisyen berkenaan.

Pada 3 Januari lalu, Badan Perhubungan UMNO Terengganu memfailkan petisyen untuk membatalkan keputusan PRU15 bagi Parlimen Kuala Terengganu, Marang dan Kemaman.Petisyen membabitkan tiga Parlimen itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu Datuk Seri Ahmad Said berkata, petisyen itu difailkan antara lain atas dakwaan Pas telah menyogok pengundi dengan mengagihkan wang bantuan yang diberikan kerajaan negeri pada 15 hingga 17 November 2022, beberapa hari sebelum PRU15 melalui program i-Pencen, i-Belia dan i-Siswa.

Loading...
Terkini