comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Mahkamah pulangkan sementara pasport Syed Saddiq


KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi, hari ini, membenarkan permohonan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, untuk mendapatkan sementara pasportnya bagi menghadiri persidangan antarabangsa di Switzerland dan Korea Selatan, bulan depan.

Hakim, Datuk Azhar Abdul Hamid, membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan Peguam Bela Syed Saddiq, Lim Wei Jiet dan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd ‘Afif Ali.

“Mahkamah membenarkan permohonan itu dan pasport perlu dipulangkan semula pada 20 Mei ini selepas Syed Saddiq pulang ke negara ini,” katanya.

Mengikut afidavit diikrarkan Syed Saddiq pada 11 April lalu, Ahli Parlimen Muar itu mahu ke Switzerland untuk menghadiri dan berucap pada persidangan dasar dadah antarabangsa.

Syed Saddiq, 31, juga akan ke Korea Selatan bagi menghadiri dan berucap pada persidangan antarabangsa yang dianjurkan Centre for Asia Leadership iaitu Persidangan Kepimpinan Asia 2023.

Ia adalah persidangan antarabangsa tahunan utama Korea Selatan, yang mana lebih 350 pemimpin kerajaan, politik, perniagaan dan komuniti akan berbincang berkenaan penyelesaian isu mendesak dihadapi Asia pada hari ini.

Ahli Parlimen Muar itu memerlukan pasport dalam masa terdekat untuk memohon visa bagi melawat dua negara itu.

Terdahulu, Wei Jiet berkata, permohonan itu bagi membolehkan Syed Saddiq, yang juga Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dan bekas Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA), ke Switzerland pada 1 hingga 6 Mei dan Korea Selatan dari 15 hingga 19 Mei.

Mohd ‘Afif mengesahkan pihak pendakwaan tidak membantah terhadap permohonan berkenaan selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Presiden MUDA terbabit.

Pada 22 Februari lalu, Syed Saddiq, 31, mula membela diri atas empat pertuduhan, termasuk bersubahat dengan bekas Penolong Bendahari ARMADA BERSATU, Rafiq Hakim Razali, yang diamanahkan dana RM1 juta dan melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu, selepas diperintahkan mahkamah pada 28 Oktober tahun lalu.

Selain pertuduhan bersubahat dengan Rafiq Hakim, Syed Saddiq didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri, iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad, milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang terbabit.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram, iaitu memindahkan wang, masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB) miliknya, hasil aktiviti haram.

Loading...
Terkini