comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Mahkamah Rayuan putuskan doktor boleh beri Ivermectin kepada pesakit

Foto hiasan

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa doktor berhak menggunakan Ivermectin sebagai sebahagian daripada rawatan kepada pesakit.

Panel tiga hakim berpendapat, pengamal perubatan berdaftar boleh memberikan Ivermectin kepada pesakit hanya untuk tujuan rawatan, dan dengan mematuhi Seksyen 19 Akta Racun 1952 dan Peraturan-Peraturan Racun 1952.

FMT melaporkan keputusan itu dibuat bagi menjawab dua persoalan dikemukakan kepada mahkamah dalam rayuan oleh Dr S Vijaendran, Presiden Persatuan Kemajuan Perubatan Fungsian dan Antara Disiplin Malaysia (MAAFIM), dan Dr Che Amir Farid Che Isahak.

“Kami menjawab (dua persoalan) ini secara afirmatif,” kata Hakim Abu Bakar Jais ketika menyampaikan alasan ringkas bagi keputusan mahkamah.

“Kami sebulat suara (mempersetujui) bahawa berlaku kesilapan yang boleh dirayu (dibuat) oleh Mahkamah Tinggi,” katanya lagi.

Panel itu yang turut dianggotai Hakim Abdul Karim Abdul Jalil dan Collin Lawrence Sequerah mendengar hujahan pada 24 Mei.

Abdul Karim dan Abu Bakar dilantik menjadi Hakim Mahkamah Persekutuan pada 13 Jun.

Abu Bakar berkata mahkamah bersetuju dengan hujahan peguam mewakili perayu bahawa kes ini tidak melibatkan pengiktirafan Ivermectin sebagai remedi alternatif bagi rawatan Covid-19.

Sebaliknya, mahkamah berkata, pihaknya hanya diminta menentukan sama ada pengamal perubatan berhak, dalam melaksanakan pertimbangan profesional mereka untuk memberikan ubat yang disenaraikan bawah Kumpulan B dalam Akta Racun, termasuk Ivermectin, kepada pesakit mereka.

Mahkamah Rayuan juga tidak bersetuju dengan dapatan Mahkamah Tinggi bahawa rayuan itu sama dengan serangan kolateral oleh perayu terhadap siasatan jenayah yang sedang berjalan, dan pendakwaan terhadap seorang doktor kerana memiliki Ivermectin.

Sebaliknya Abu Bakar berkata, perayu-perayu hanya memohon relief dalam bentuk pengesahan hak mereka yang sedia ada.

Mahkamah turut memerintahkan kerajaan membayar kos RM30,000 kepada perayu.

Kes ini timbul selepas pegawai Kementerian Kesihatan (KKM) menyerbu sebuah klinik kendalian Dr Che Amir di Ampang dua tahun lepas ketika kemuncak wabak Covid-19, berikutan laporan keracunan akut dan kesukaran bernafas yang didakwa dialami dua pesakit.

Pegawai KKM merampas Ivermectin yang ditemui di klinik itu atas alasan ia bukan produk berdaftar.

Mereka juga mendakwa, doktor itu tidak dibenarkan menjual atau memberikan ubat itu kepada pesakit, mengikut undang-undang.

Dr Che Amir kemudiannya didakwa di Mahkamah Majistret kerana menjual dan mengedar ubat itu.

Kes ini masih belum selesai. – FMT

Loading...
Terkini