Tumpuan :
Mahkamah

Mahkamah tetapkan April depan perbicaraan kes rasuah Bung Moktar, Zizie Izette

Mahkamah Sesyen KL menetapkan perbicaraan bela diri membabitkan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin, dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad yang berdepan tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta bermula April tahun depan.

Oleh: Mas Zharif Zhafri Aziz Desa

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini menetapkan April depan untuk perbicaraan bela diri membabitkan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin, dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad yang berdepan tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta.

Menurut peguam yang mewakili Datuk Seri Bung Moktar Radin, Rinda Abdah Subri, tarikh itu membabitkan 9 hingga 11, 14 dan 15 April serta 5 dan 6 Mei tahun depan.

Hakim Mahkamah Sesyen, Rosli Ahmad turut menetapkan 21 Januari tahun depan bagi tarikh pengurusan kes.

Selain turut memutuskan jaminan sebanyak RM100,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin, serta pasport disimpan di mahkamah.

Terdahulu, pasangan itu tiba di Kompleks Mahkamah Jalan Duta sekitar jam 8.25 pagi tadi untuk menghadiri sebutan pertama kes bagi tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta ringgit.

Pertuduhan ini berkait dengan dakwaan menerima suapan bagi meluluskan pelaburan RM150 juta FELCRA ke dalam unit amanah Public Mutual Berhad pada tahun 2015.

18 November lalu, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa perbicaraan mesti diteruskan, menolak permohonan pasangan tersebut untuk membatalkan keputusan prima facie yang sebelum ini telah mengarahkan mereka membela diri.

Keputusan itu dibuat panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim selepas membenarkan rayuan pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membebaskan mereka pada 7 September 2023.

3 Mei tahun lalu, Bung Moktar, 64, yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah didakwa atas dua tuduhan menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan FELCRA untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Beliau didakwa menerima rasuah daripada perunding unit amanah Public Mutual Berhad, Madhi Abdul Hamid melalui Zizie Izette di Public Bank cawangan Taman Melawati, antara jam 12.30 tengah hari hingga 5 petang 12 Jun 2015.

Bung Moktar juga mengaku tidak bersalah menerima suapan wang tunai RM335,500 daripada seorang lagi perunding amanah berkenaan, Norhaili Ahmad Mokhtar di bawah nama Zizie Izette atas sebab sama dan di tempat sama pada 19 Jun 2015.

Zizie Izette, 44, pula mengaku tidak bersalah atas tiga tuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa sama.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini