
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini mengarahkan Tun Dr Mahathir Mohamad bersama dua lagi yang disaman oleh ahli perniagaan, Tan Sri Halim Saad untuk memfailkan pernyataan pembelaan mereka pada atau sebelum 6 Oktober ini.
Saman yang difailkan oleh bekas Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Renong itu adalah berhubung dakwaan beliau mengalami kerugian selepas diarahkan kerajaan menjual saham miliknya dalam Renong Bhd, 23 tahun lalu.
Selain Dr Mahathir yang disaman atas kapasitinya sebagai Perdana Menteri ketika itu, Halim turut menamakan bekas Menteri Kewangan II, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop atas kapasitinya sebagai Penasihat Ekonomi Khas kepada Perdana Menteri dan kerajaan Malaysia selaku defendan.
Peguam Persekutuan Imtiyaz Wizni Aufa Othman, ketika dihubungi media berkata Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Nik Nur Amalina Mat Zaidan turut mengarahkan Halim selaku plaintif menjawab pembelaan itu pada atau sebelum 23 Oktober.
Katanya, mahkamah turut menetapkan tarikh pengurusan kes selanjutnya pada 20 November ini dan semua pihak perlu memfailkan permohonan interlokutori sebelum tarikh itu, jika ada.
Pada 22 Ogos lalu, Jabatan Peguam Negara (AGC) memfailkan notis kehadiran untuk mewakili ketiga-tiga defendan dalam kes saman berkenaan.
Melalui saman difailkan, Halim berkata, tuntutan beliau berdasarkan pelanggaran haknya oleh kerajaan Malaysia ketika diarahkan Dr Mahathir dan Nor Mohamed untuk tidak meneruskan pemerolehan 32.69 peratus dalam Renong Berhad daripada United Engineers Malaysia Berhad (UEM) menurut Opsyen Jual yang dilaksanakan ke atasnya oleh UEM pada Disember 2000.
Dalam penyataan tuntutan samannya, Halim berkata pada masa yang material, Renong memegang 37.92 peratus saham UEM dan beliau pemegang saham individu tunggal terbesar dan mengawal syarikat itu (Renong).
Halim berkata, beliau berniat untuk membuat tawaran am ke atas UEM, sama ada melalui Renong atau bersama Renong, untuk menswastakan UEM sebagai anak syarikat Renong yang akan membolehkan beliau memperoleh kawalan dan milikan penuh ke atas UEM melalui Renong.
Katanya, beliau diarahkan oleh Dr Mahathir dan Nor Mohamed secara langsung supaya tidak meneruskan tawaran am kerana kerajaan ingin mengambil semua saham dalam UEM melalui Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) atau pihak yang akan dicalonkan oleh Khazanah.
Katanya, beliau mematuhi arahan itu kerana Dr Mahathir adalah Perdana Menteri dan Menteri Kewangan ketika itu dan kesudahannya Khazanah memperoleh keseluruhan saham UEM melalui anak syarikatnya, Danasaham Sdn Bhd, dan dengan itu memperoleh kawalan terhadap UEM yang ketika itu memiliki 32.6 peratus saham Renong.
Halim dengan itu memohon perisytiharan, antaranya beliau pemegang saham Renong dan bukannya UMNO, selain mendakwa kerajaan melanggar Perkara 8 (1) atau Perkara 13 (2) Perlembagaan Persekutuan kerana gagal memberikan pampasan yang memadai kepadanya.
Beliau juga memohon perintah supaya kerajaan membayar pampasan kepadanya dan menuntut ganti rugi am, ganti rugi teladan atau teruk, faedah, kos atau relif yang sesuai oleh mahkamah.