Tumpuan :
Mahkamah

Mahkamah tolak permohonan cabar penahanan CEO GISBH, isteri

Peguam yang mewakili pemohon menegaskan akan memfailkan rayuan terhadap keputusan itu di Mahkamah Persekutuan minggu hadapan. – FOTO: NSTP

JOHOR BAHRU: Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan Habeas Corpus Ketua Pegawai Eksekutif GISB Holdings (GISBH) Sdn Bhd, Nasiruddin Mohd Ali dan isterinya, Azura Md Yusof, yang ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Hakim Datuk Abu Bakar Katar memutuskan bahawa ketika permohonan difailkan pada 24 Oktober, pemohon tidak berada dalam tahanan SOSMA tetapi di bawah Waran Menahan sah yang dikeluarkan Mahkamah Sesyen Selayang.

Menurut Abu Bakar, Writ Habeas Corpus itu menjadi akademik kerana tahanan dibuat secara sah berdasarkan perundangan sedia ada.

Pada 23 Oktober tahun lalu, Nasiruddin, Azura, dan 19 individu lain dituduh menjadi ahli kumpulan jenayah terancang di bawah Seksyen 130V(1), dengan pertuduhan melibatkan aktiviti jenayah antara Oktober 2020 hingga September 2024.

Sementara itu, barisan peguam pemohon, diketuai Datuk Rosli Kamaruddin memaklumkan akan memfailkan rayuan terhadap keputusan itu di Mahkamah Persekutuan minggu hadapan.

Selain itu, Rosli berkata pihaknya akan memohon jaminan untuk tahanan GISBH lain yang layak, seperti wanita atau individu uzur, susulan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan akauntan GISBH, Hamimah Yakub, diikat jamin.

Mengikut pertuduhan, semua 13 lelaki dan sembilan wanita berkenaan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang di Bandar Country Homes Rawang, antara Oktober 2020 hingga 11 September 2024.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini