comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Mahkamah tolak permohonan lucut harta RM80 juta

Foto: NSTP/Luqman Hakim Zubir

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi menolak permohonan kerajaan untuk melucut harta bernilai kira-kira RM80 juta, didakwa hasil penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Harta itu membabitkan 2,435 barang kemas, tujuh jam tangan dan 29 beg tangan yang disita dari sebuah unit di Pavilion Residence di sini, milik Obyu Holdings Sdn Bhd pada 17 Mei 2018.

Jam tangan itu turut dituntut oleh Datuk Seri Najib Razak, manakala isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor menuntut barang kemas dan beg tangan.

Datin Seri Rosmah Mansor menuntut barang kemas dan beg tangan yang disita dari unit di Pavilion Residence. – Foto hiasan NSTP/Aswadi Alias

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin menerusi penghakiman ringkasnya hari ini, membuat keputusan itu selepas mendapati pendakwaan selaku pemohon gagal membuktikan barang disita, hasil daripada aktiviti pengubahan wang haram.

Hakim turut menolak permohonan pihak pendakwaan untuk menggantung pelaksanaan keputusan itu, sementara menunggu rayuan difailkan dan diputuskan oleh Mahkamah Rayuan.

Najib dan Rosmah ialah pihak ketiga dalam permohonan itu.

Najib juga menuntut jam tangan yang dirampas oleh penguat kuasa. – Foto hiasan NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Mana-mana pihak ketiga yang mendakwa mempunyai kepentingan ke atas barang yang dirampas boleh hadir di mahkamah untuk mengemuka alasan sebab barang itu tidak boleh dilucut hak kepada kerajaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Faten Hadni Khairuddin dan Harris Ong Mohd Jeffrey Ong.

Najib dan Rosmah diwakili peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, Tania Scivetti, Azamuddin Abd Aziz dan Iskandar Shah Ibrahim.

Pada 25 Julai 2020, Najib dan Rosmah memeriksa 306 beg tangan, 401 jam tangan, 16 aksesori jam tangan dan 234 cermin mata yang turut disita dari premis sama.

Pada 2019, pendakwaan memfailkan permohonan pelucut-hak terhadap Obyu Holdings bagi menyita pelbagai barang termasuk 11,991 barang kemas, 401 jam tangan, 16 jam tangan aksesori, 234 pasang cermin mata, 306 beg tangan, serta wang tunai dalam pelbagai denominasi berjumlah RM114,164,393.44. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini