comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Mayat Reput: Tukang Gunting Rambut Didakwa Bunuh Teman Wanita

Foto: NSTP

IPOH: Tukang gunting rambut dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh, hari ini atas pertuduhan membunuh teman wanita minggu lalu.

Tertuduh, M Krishnaa Kumar, 24, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Jesseca Daimis.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh berikutan kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, Krishnaa didapati dengan sengaja melakukan pembunuhan dengan menyebabkan kematian kepada M Shankavi, 23.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di dalam kawasan semak berhampiran tepi jalan besar Tambun antara jam 3.11 pagi pada 8 Oktober 2022 hingga jam 5.25 pagi 12 Oktober 2022.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Fatimah Hannah Abd Wahab manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 16 Disember sebagai tarikh sebutan semula kes.

Media sebelum ini melaporkan mayat reput itu ditemukan selepas sebuah Proton Iswara Aeroback terbabas ke longkang berdekatan persimpangan lampu isyarat Pekan Tambun.

Siasatan polis mendapati mangsa mempunyai padanan dengan kes orang hilang.

Hasil bedah siasat pula menunjukkan punca kematian adalah akibat dicekik. -HARIAN METRO

Loading...
Terkini