Tumpuan :
Mahkamah

Mekanik dipenjara, gagal bayar denda RM5,000

FOTO: NSTP

BATU PAHAT: Seorang mekanik dipenjara selepas gagal membayar denda RM5,000 yang dikenakan Mahkamah Majistret hari ini atas kesalahan mencuri selipar berjenama dan air kencing positif dadah.

Norrazuan Nordani, 37, yang pernah disabitkan atas kesalahan sama sebelum ini, mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan di hadapan Majistret Suhaila Shafi’uddin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan curang memiliki sepasang selipar berjenama yang dicuri dari sebuah kedai milik wanita berusia 21 tahun yang mana dia mengetahui harta itu adalah curi.

Kejadian itu berlaku di perkarangan Balai Polis Yong Peng, dekat sini, jam 4 petang, 12 Jun lalu.

Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan dengan hukuman penjara hingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Selain itu, tertuduh turut mengaku bersalah bagi pertuduhan mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana air kencing positif dadah.

Berdasarkan fakta kes, pemilik yang juga seorang wanita mendapati dua pasang selipar didapati hilang di kedainya di Yong Peng.

Hasil semakan dibuat mendapati terdapat tiga lelaki memasuki kedai terbabit sebelum kehilangannya.

Bertindak atas laporan dibuat, polis menahan tertuduh lalu di bawa ke Balai Polis Yong Peng untuk tindakan lanjut.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Farah Wahidah Mohd Sharip manakala tertuduh diwakili Tan Song Yan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Sewaktu ditanya oleh majistret, tertuduh turut mengakui dia pernah disabitkan kesalahan sama sebelum ini.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM3,000 bagi kesalahan mengikut Seksyen 411, manakala Seksyen 15 (1) (a), RM2,000.

Namun, tertuduh gagal membayar kedua-dua denda sebelum dihantar ke Penjara Kluang.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini