comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Memandu dalam keadaan mabuk, tentera didenda RM2,200, lesen memandu digantung 

Foto hiasan

MELAKA: Seorang anggota tentera didenda RM2,200 serta digantung lesen memandu selama dua tahun oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini, atas kesalahan memandu kereta dalam keadaan mabuk, tahun lalu.

Majistret Khairunnisak Hassni menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Francis Devi Anak Jenen, 31, yang mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh sebagai pemandu sebuah kereta tetapi tidak layak memandu kerana berada di bawah pengaruh minuman yang memabukkan di Jalan Limbongan pada 10 Disember 2023, kira-kira jam 4.40 pagi.

Bagi kesalahan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 45(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntuk hukuman denda minimum RM1,000 dan maksimum RM5,000 dan juga boleh dipenjara tidak lebih dua tahun.

Tertuduh juga hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan sesuatu lesen memandu selama tempoh tidak kurang dua tahun daripada tarikh sabitan.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh ditahan oleh anggota Bahagian Siasatan dan Penguat kuasaan trafik Ibu Pejabat Polis (IPD), Melaka Tengah dalam satu sekatan jalan raya Op Mabok di Jalan Limbongan pada 10 Disember 2023, kira-kira jam 3 pagi.

Hasil ujian pernafasan awal menggunakan alat SD2+ pada jam 3.50 pagi mendapati kandungan alkohol dalam darah tertuduh adalah 226 miligram (mg) per 100 mililiter(ml).

Dia kemudian dibawa ke IPD Melaka Tengah dan hasil ujian pernafasan menggunakan alat EBA-11 pada jam 4.28 pagi mengesan kandungan alkohol 173mg/100ml.

Ujian pernafasan kedua pada jam 4.40 pagi pula mendapati keputusannya 167mg/100ml.

Terdahulu, tertuduh tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan dia perlu menjaga ibunya yang sakit, namun, Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishhar memohon hukuman setimpal dikenakan.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM2,200 atau dua bulan penjara jika gagal bayar serta lesen memandu kelas ‘D’ digantung dua tahun bermula hari ini.

Tertuduh kemudian membayar denda itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini