comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Menangis ketika merayu agar tidak dikenakan hukuman penjara

NOORZADILA ketika hadir ke Mahkamah Majistret Seremban. Foto: NSTP

SEREMBAN: Pemilik syarikat penjualan dan penyelenggaraan penapis air menitiskan air mata ketika merayu di Mahkamah Majistret Seremban, hari ini, supaya tidak dikenakan hukuman penjara atas dua pertuduhan gagal mengemukakan penyata pendapatan Borang B dari 2017 hingga 2021 membabitkan nilai cukai pendapatan RM90,606.43.

Ketika rayuannya, Noorzadila Saman, 38, memaklumkan, dia mengaku tidak menghantar penyata pendapatan kerana tidak arif mengenai perkara itu.

“Saya mohon hakim untuk tidak jatuhkan penjara pada saya kerana saya ada anak kecil dan mohon jasa baik hakim dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk kurangkan hukuman.

“Saya juga menanggung kos perubatan ibu yang terlantar sakit di kampung dan saya juga bimbang kesihatan ibu saya jadi lebih teruk jika saya dipenjarakan,” katanya.

Noorzadila yang teresak-esak memaklumkan kepada mahkamah dia tidak mempunyai pendapatan tetap kerana bergantung kepada hasil jualan selain perlu mempunyai komitmen pinjaman bank.

Terdahulu, Noorzadila mengaku bersalah atas pertuduhan yang dihadapinya di hadapan Majistret Noorhafizah Ishak selepas kertas pertuduhan dibacakan.

Mengikut pertuduhan, orang kena saman (OKS) gagal mengemukakan penyata pendapatan dalam Borang B bagi tahun 2017 hingga 2021 pada atau sebelum 30 Jun pada tahun berikutnya kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri dengan tiada sebab munasabah yang membabitkan pendapatan bercukai berjumlah RM646,498.

Berikutan itu, OKS melakukan suatu kesalahan mengikut Seksyen 112(1A) Akta Cukai Pendapatan 1967 yang boleh dihukum mengikut seksyen dan akta sama.

Jika disabitkan, boleh didenda tidak kurang daripada RM1,000 dan tidak lebih daripada RM20,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali dan penalti khas sebanyak tiga kali ganda amaun cukai yang sepatutnya dikenakan.

Pendakwaan kes dikendalikan Pegawai Pendakwa LHDN, Muhammad Afiq Ahmad Tajuddin dan Kwan Huey Shin.

Mahkamah kemudian menetapkan 24 November ini untuk sebutan semula kes bagi memberi tempoh kepada OKS untuk serahkan dokumen kepada LHDN bagi rayuan pengurangan denda.

Loading...
Terkini