comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Mengaku salah pecah rumah, bekas banduan dihukum penjara tujuh tahun

KUALA KANGSAR: Seorang bekas banduan dihukum penjara tujuh tahun dan dua kali sebatan oleh Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini selepas mengaku bersalah melakukan pecah rumah yang menyebabkan kerugian RM77, Ahad lalu.

Hakim Rohaida Ishak menjatuhi hukuman itu terhadap tertuduh yang juga penoreh getah, Abdul Naaim Abu Bakar, 38, sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki itu melakukan kegiatan pecah rumah ke atas bangunan yang digunakan sebagai kediaman, bagi maksud mencuri wang tunai RM77 milik seorang wanita berumur 39 tahun kira-kira jam 1.10 pagi 8 Oktober lalu di rumah beralamat No. 106 Felda Bersia, di Gerik, dalam daerah Hulu Perak.

Perbuatan itu adalah kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan (KK), yang jika sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun, dan bagi mana-mana kesalahan mencuri itu yang dilakukan kali kedua atau seterusnya, maka hendaklah juga dikenakan hukuman denda atau sebat.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Firdaus Nor Azlan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Berdasarkan fakta kes yang dibacakan, tertuduh ditangkap pada waktu kejadian itu juga susulan mangsa kes pecah masuk itu menyedari bahawa tertuduh tersekat di ruangan tingkap dapur rumah itu ketika dalam usahanya keluar dari rumah berkenaan.

Ketiga mitigasi, tertuduh merayu sendiri hukuman ke atasnya diringankan atas faktor pekerjaannya sebagai penoreh getah dan belum berkahwin namun kini turut menanggung bapanya.

Pihak pendakwaan bagaimanapun memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal terhadap tertuduh memandangkan tertuduh, sebelum ini juga pernah disabitkan kesalahan juga mengikut Seksyen 457 KK dan kali terakhir sebelum ini pernah dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan oleh Mahkamah Majistret Gerik pada 2 Januari 2021.

“Ini merupakan kesalahan Seksyen 457 KK yang dilakukan tertuduh buat kali ketiga selepas dia melakukan kesalahan sama pada 2019 dan 2021. Disebabkan ada dua kesalahan sama sebelum ini maka mahkamah menetapkan tujuh tahun penjara darintarikh tangkap dan dua kali sebatan kepada tertuduh,” kata Rohaida.

Loading...
Terkini