comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Mengintai di tandas medan selera, peniaga didenda RM3,000

Foto: NSTP

MELAKA: Perbuatan jelik seorang peniaga lelaki yang mengintai di sebuah tandas medan selera Bukit Katil, di sini, mendapat balasan apabila didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini.

Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Muhammad Helmi Ali, 33, mengaku bersalah dan mensabitkannya seperti pertuduhan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh sengaja mengaibkan kehormatan seorang wanita berusia 38 tahun dengan cara membuat isyarat menceroboh privasi penama yang mengganggu kesantunannya.

Perbuatan itu didakwa dilakukan tandas Medan Selera Taman Saujana Seksyen 2, Bukit Katil pada 30 Januari lalu, kira-kira jam 4.20 petang.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, jika disabit boleh dipenjara sehingga lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, sewaktu kejadian pengadu yang juga peniaga di medan selera berkenaan dan ibu kepada tiga anak ternampak kelibat tertuduh yang dikenalinya dari ruang atas kanan tandas selepas selesai membuang air kecil.

Pengadu menjerit meminta tolong dan bergegas keluar dari tandas itu sebelum tertuduh meminta maaf dengan memberi alasan mahu mengambil barang.

Wanita itu kemudian bergegas lari ke keretanya dan memaklumkan kejadian kepada kakak iparnya serta membuat laporan polis kerana bimbang sekiranya tertuduh ada mengambil gambar atau videonya semasa membuang air kecil.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nor Asnini Kamarudin memohon hukuman setimpal dikenakan sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon hukuman ringan.

 

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini