comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Menyamar Ketua Polis Johor, pengurus bangunan didenda RM1,000

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Mahkamah Majistret di sini hari ini mengenakan denda RM1,000 terhadap seorang pengurus bangunan kerana menyamar sebagai Ketua Polis Johor.

A Ganasean, 51, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim.

Mahkamah juga memerintahkan lelaki itu dipenjara sebulan sekiranya gagal membayar denda itu.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memperdaya seorang individu dengan menyamar sebagai Ketua Polis Johor di Bandar Baru Sentul, di sini pada jam 8.35 malam, 6 Mei lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 416 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum bawah Seksyen 417 kanun sama, yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, tertuduh memperkenalkan diri sebagai Ketua Polis Johor dan menawarkan RM1,500 bagi pembebasan setiap seorang daripada 11 tahanan.

Bagaimanapun, pengadu tidak membuat sebarang persetujuan dan bayaran atas penawaran itu.

Terdahulu, peguam bela tertuduh, S Narasimhan merayu supaya anak guam dikenakan hukuman denda pada kadar minimum tanpa hukuman penjara.

“Anak guam perlu menanggung isteri dan lima anak termasuk dua masih bersekolah.

“Tertuduh malu dengan isteri dan anak kerana melakukan kesalahan itu, selain kesal, insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kes sama,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Eleena Jamaluddin Akbal memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran.

“Kesalahan terbabit tidak boleh dipandang ringan kerana sengaja menyamar sebagai Ketua Polis Johor demi keuntungan diri sendiri,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini