
KOTA KINABALU: Seorang lelaki warga asing didapati bersalah memiliki MyKad palsu sekaligus dijatuhi hukuman penjara 24 bulan oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.
Tertuduh, Mohamad Adzlan Said, 42, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Jessica Ombou Kakayun.
Mengikut pertuduhan, Mohamad Adzlan ditahan ketika Operasi Terancang Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sabah di Sinsuran, Blok 1, di sini, jam 9.30 pagi, semalam kerana disyaki memiliki MyKad palsu atas nama Mohamad Adzlan Bin Said.
Semakan kedua-dua jari tertuduh dibuat dan didapati kedua-dua cap ibu jari tertuduh tiada di dalam rekod JPN.
Semakan lanjut Bahagian Kad Pengenalan JPN Sabah mendapati nombor MyKad itu tidak wujud di dalam sistem JPN.
Tertuduh didakwa mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran 1990.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 24 bulan dari tarikh tertuduh ditahan dan dirujuk ke Jabatan Imigresen selepas menjalani hukuman penjara.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Mohd Naser Mohd Nadzeri manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – HARIAN METRO