comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Minta suapan meja snuker, ping pong, jurutera direman 5 hari

GEORGE TOWN: Seorang jurutera yang didakwa meminta dan menerima suapan RM13,000 daripada kontraktor untuk membeli meja snuker dan ping pong, direman lima hari bermula hari ini.

Perintah reman ke atas lelaki berusia 30-an itu dikeluarkan Majistret Mohamad Azlan Basri selepas menerima permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Terdahulu, lelaki berkenaan tiba di perkarangan mahkamah dalam keadaan tangan bergari dan memakai baju lokap SPRM berwarna jingga kira-kira jam 9 pagi tadi diiringi peguam, RSN Rayer.

Permohonan reman terhadap jurutera itu dilakukan di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ) selepas penahanannya menerusi Op Table, semalam.

Media semalam melaporkan seorang jurutera sebuah jabatan kerajaan ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes meminta dan menerima rasuah berjumlah RM13,000.

Difahamkan, wang suapan berkenaan dipercayai diterima jurutera terbabit daripada kontraktor yang menjalankan kerja-kerja kontrak di jabatan kerajaan berkenaan.

Siasatan awal mendapati suspek telah menggunakan wang berkenaan untuk membeli sebuah meja snuker dan sebuah meja ping pong untuk diletakkan di pejabatnya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini