comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Muhyiddin fail permohonan, lepas, bebas tuduhan gubah wang haram

Foto: NSTP

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memfailkan permohonan supaya dilepas dan dibebaskan daripada tiga lagi tuduhan jenayah yang dihadapinya iaitu menerima wang hasil aktiviti haram yang kesemuanya berjumlah RM200 juta.

Pada 15 Ogos lalu, Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan Ahli Parlimen Pagoh itu selepas membenarkan permohonan beliau membatalkan empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk rasuah berjumlah RM232.5 juta bagi parti BERSATU.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Muhammad Jamil Hussin, ketika itu membuat keputusan terbabit selepas mendapati keempat-empat pertuduhan berkenaan adalah cacat, tidak berasas dan tidak jelas.

Dalam permohonan terbaru yang difailkan pada Isnin lalu menerusi Tetuan Chetan Jethwani & Company, bekas Perdana Menteri itu memohon Mahkamah Sesyen mengetepikan semua baki tuduhan berkenaan, dan beliau dilepas serta dibebaskan.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu membuat permohonan berkenaan dengan alasan beliau sudah dilepaskan dan dibebaskan untuk kesalahan predikat di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia oleh Mahkamah Tinggi.

Beliau berkata, Mahkamah Tinggi sudah memutuskan bahawa pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur itu adalah tidak berasas kerana tidak mendedahkan suatu kesalahan yang diperuntukkan di bawah undang-undang.

Katanya, oleh kerana pertuduhan yang menjadi kesalahan predikat tidak berasas, maka tuduhan mengikut Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama dengan Seksyen 87(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 juga adalah tidak berasas.

Loading...
Terkini