comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Muhyiddin minta panel 5 hakim dengar kes semakan

KUALA LUMPUR: Permohonan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, untuk menyemak keputusan dibuat panel hakim sebelum ini yang mengembalikan empat pertuduhan salah guna kuasa membabitkan RM232.5 juta terhadapnya, akan didengar di Mahkamah Rayuan pada 9 Julai ini.

Mahkamah Rayuan turut akan mendengar bantahan awal dan isu merit oleh pihak pendakwaan berkaitan isu berbangkit pada tarikh sama.

Afidavit jawapan responden atau pihak pendakwaan perlu difailkan pada atau sebelum 26 April ini, afidavit balasan Muhyiddin sebagai pemohon (10 Mei), hujahan bantahan dan merit (9 Jun) serta hujahan balasan jika ada (24 Jun).

Presiden BERSATU itu juga meminta panel lima hakim untuk mendengar permohonan berkenaan, namun beliau diarahkan menghantar surat kepada Presiden Mahkamah Rayuan untuk pertimbangan permohonan.

Peguam bela Muhyiddin, Datuk Hisyam Teh Poh Teik mengesahkan semua perkembangan baharu berkaitan permohonan anak guamnya itu.

Pada 28 Februari lalu, Mahkamah Rayuan mengarahkan kes rasuah berjumlah RM232.5 juta dihadapi Presiden BERSATU itu dikembalikan ke Mahkamah Sesyen untuk tindakan lanjut.

Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Hadhariah Syed Ismail, membuat keputusan itu secara sebulat suara selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan Muhyiddin atas empat tuduhan rasuah terbabit.

Turut bersidang Hakim, Datuk Azmi Ariffin dan Datuk S M Komathy Suppiah.

Pada 15 Ogos tahun lalu, Mahkamah Tinggi membebaskan Muhyiddin atas empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk rasuah RM232.5 juta bagi BERSATU.

Hakim, Datuk Muhammad Jamil Hussin membuat keputusan berkenaan selepas membenarkan permohonan Muhyiddin untuk membatalkan tuduhan terbabit.

Ia susulan empat pertuduhan itu didakwa tidak mendedahkan kesalahan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Bekas Perdana Menteri itu memfailkan notis usul untuk membatalkan tuduhan berkenaan pada 18 April tahun lalu, dengan memohon supaya dilepas dan dibebaskan daripada keempat-empat pertuduhan dikenakan terhadapnya pada 10 Mac 2023.

Melalui afidavit sokongan difailkan bersama notis usul itu, Muhyiddin mendakwa empat tuduhan itu adalah cacat dan tidak sah di sisi undang-undang kerana bercanggah Seksyen 152 Kanun Acara Jenayah.

Muhyiddin, 77, ketika menjadi Perdana Menteri kelapan didakwa di Mahkamah Sesyen kerana menggunakan kedudukan untuk suapan RM232.5 juta daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Datuk Azman Yusoff bagi BERSATU.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya di antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

Selain itu, Pengerusi PN berkenaan masih berdepan tiga tuduhan menerima wang hasil aktiviti haram yang semuanya berjumlah RM200 juta.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini