comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Najib miliki kawalan penuh ke atas akaun bank

Pasukan pembelaan yang diketuai Tan Sri Shafee Abdullah, meninggalkan mahkamah.- FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, membuat kesimpulan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mempunyai kawalan dan kuasa penuh ke atas perbelanjaan akaun bank peribadinya.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini hakim Mahkamah Rayuan) dalam penghakimannya berkata, ahli perniagaan buruan Low Taek Jho atau dikenali sebagai Jho Low, bekas pengarah 1MDB Nik Faisal Ariff Kamil dan bekas setiausaha sulit utama Najib, Allahyarham Datuk Azlin Alias tidak mempunyai sebarang kawalan ke atas akaun Najib.

“Najib juga mengaku wang itu dihantar dan cek dikeluarkan secara peribadi kepada pelbagai pihak, yang juga sebahagian daripada 21 pertuduhan AMLA.

“Najib juga dalam mengikut sesuatu peristiwa digelar sebagai ‘Peristiwa 916’ (pada 16 September 2008), terdapat keperluan untuk tertuduh mencari dana politik bagi mengelakkan mana-mana Ahli Parlimen dari Barisan Nasional (BN) lompat parti dan sekali gus menyebabkan beliau kehilangan kuasa politik,” katanya ketika membacakan penghakiman hampir dua jam bermula pada 9.25 pagi.

Sequerah berkata, pengakuan tertuduh menguatkan keterangan bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Sidek Hassan yang memberi keterangan bahawa 1MDB dimulakan sebagai dana politik untuk BN.

“Keterangan bekas pegawai khas Najib, Datuk Amhari Efendi Nazarudin juga mengulangi fakta bahawa 1MDB digunakan sebagai dana untuk tujuan politik tertuduh.

“Bukti juga menunjukkan bahawa tertuduh tidak boleh mendapatkan dana itu jika bukan kerana dia mempunyai kepentingan,” katanya dalam penghakimannya di akhir kes pendakwaan hari ini.

Sementara itu, Sequerah berkata, Najib sebagai pemegang akaun Ambank dikuatkan lagi keterangan pegawai bank berkenaan bahawa Najib tidak pernah membangkitkan sebarang pertanyaan mengenai dana yang memasuki akaun peribadinya sepanjang empat tahun.
Dalam penghakimannya, Sequerah berkata, dengan mengambil kira keseluruhan bukti, bekas Presiden Umno itu tidak membuat sebarang laporan polis terhadap Jho Low.

“Keterangan yang diberikan oleh pegawai penyiasat SPRM, Penguasa Kanan Nur Aida Arifin mengesahkan pihak berkuasa tidak pernah menerima sebarang aduan daripada Najib atau pegawainya pada 2015.

“Datuk Amhari mengesahkan beliau tidak menerima arahan daripada tertuduh untuk berbuat demikian (lapor polis),” katanya.

Katanya, selepas 1MDB dihebahkan secara meluas pada 2015, bekas Pengerusi 1MDB, Tan Sri Mohd Bakke Salleh dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dipanggil untuk memberi keterangan di hadapan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara.

“Bakke berkata sebelum dia dijadual memberi keterangan, (ketika itu) Pengerusi PAC Datuk Seri Hassan Ariffin memberi taklimat kepadanya dua kali mengenai apa yang perlu dikatakan untuk menjaga dan meminimumkan peranan tertuduh dan Jho Low (dalam 1MDB),” katanya sambil menambah Shahrol juga diarahkan untuk melakukan perkara yang sama.

Mengenai dakwaan Najib menerima ‘derma Arab’, Sequerah memetik keterangan bekas peguam 1MDB Jasmine Loo Ai Swan bahawa dia terdengar Jho Low mengarahkan Kee Kok Thiam (sudah meninggal dunia) untuk merangka ‘surat derma’ ketika mereka berada di sebuah hotel di London.

Loading...
Terkini