comscore
Tumpuan :
Artikel

Kes SRC International: Najib Tiba Di Istana Kehakiman

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tiba di Istana Kehakiman untuk kemuka rayuan bagi ketepikan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta, yang dihadapinya dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd. FOTO: BH

PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tiba di Istana Kehakiman pada jam 9.10 pagi menaiki kereta Mercedes Benz diiringi polis dan pasukan pembelaan.

Suasana di perkarangan Istana Kehakiman lengang walaupun sekumpulan individu dilihat hadir tanda sokongan moral kepada bekas Perdana Menteri itu.

Kawalan keselamatan di sekitar kawasan mahkamah diperketat dengan kehadiran anggota polis, manakala pagar besi turut ditempatkan di semua pintu keluar dan masuk Istana Kehakiman.

Petugas media yang hadir seawal jam 7 pagi dan ingin mengikuti prosiding rayuan diminta mendaftar diri dan hanya dibenarkan masuk ke dalam mahkamah kira-kira jam 8.15 pagi.

Najib merayu keputusan Mahkamah Rayuan pada 8 Disember tahun lalu, yang mengekalkan sabitan salah serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ke atasnya selepas didapati bersalah atas tiga tuduhan pecah amanah, satu tuduhan menyalahgunakan kuasa dan tiga tuduhan pengubahan wang haram dana SRC International. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini