comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Nama ‘KJ’ Disebut Dalam Perbicaraan Kes Rasuah Zahid Hamidi

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi Shah Alam diberitahu bahawa ‘KJ’ adalah di antara individu berprofil tinggi yang menerima wang daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) ketika perbicaraan kes rasuah bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi antara 2014 hingga 2018.

Berita Harian melaporkan ketika pemeriksaan balas terhadap bekas Pengarah UKSB, Harry Lee Vui Khun; peguam bela Ahmad Zahid, Datuk Ahmad Zaidi Zainal, mencadangkan perkara itu kerana beberapa perkataan ‘KJ’ itu merujuk kepada Khairy Jamaluddin dicatatkan dalam buku lejar syarikat berkenaan.

Khairy kini memegang jawatan Menteri Kesihatan, pernah menjadi Menteri Belia dan Sukan antara 2013 hingga 2018 serta Ketua Pemuda UMNO (2009-2018).

Vui Khun yang juga saksi pendakwaan ke-15 kemudian mengesahkan perkataan berkenaan dalam buku itu, namun tidak pasti ia merujuk kepada siapa.

Semalam, Vui Khun memaklumkan kepada mahkamah wang diberi oleh syarikat itu kepada Ahmad Zahid bukan bermotifkan rasuah, sebaliknya untuk dana politik.

Kelmarin, saksi itu mengesahkan syarikatnya menghantar wang tunai setiap bulan dalam Dolar Singapura kepada Ahmad Zahid dari 2014 hingga 2018 berhubung kontrak sistem Visa Luar Negara (VLN).

Bayaran kepada bekas Timbalan Perdana Menteri itu bermula akhir tahun 2014 dengan bayaran sebanyak SG$200,000 sebulan kemudian meningkat kepada SG$520,000 sebulan pada 2017.

Ahmad Zahid, 69, berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB, untuk dirinya selaku Menteri Dalam Negeri bagi melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali Perkhidmatan Pusat Sehenti (OSC) di China dan Sistem VLN serta mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh kementerian terbabit.

Bagi tujuh lagi pertuduhan, Ahmad Zahid didakwa sebagai menteri sama mendapatkan untuk dirinya wang tunai SG$1,150,000, RM3 juta, EURO15,000 dan US$15,000 tanpa balasan daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan kerja rasmi beliau.Beliau didakwa melakukan semua kesalahan itu di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dan Country Heights Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

Loading...
Terkini