comscore
Tumpuan :
Kes

Nasib Siti Bainun diketahui 3 Mei ini

KUALA LUMPUR: Nasib pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali berhubung pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja Sindrom Down, Bella, akan diketahui 3 Mei ini, selepas pihak pembelaan akhirnya selesai memanggil lapan saksi.

Peguam Mohammad Farhan Maaruf yang mewakili Siti Bainun, 31, memaklumkan kepada Mahkamah Seksyen di sini, pihaknya menutup kes selepas saksi pembelaan kelapan, pensyarah kanan bidang psikologi perkembangan kanak-kanak dan remaja berkeperluan khas, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Abdul Rahman Ahmad Badayai selesai memberi keterangan, petang ini.

“Pihak pembelaan tiada mempunyai saksi lain. Dengan berakhirnya keterangan saksi pembelaan kelapan, pihak kami menutup kes hari ini,” katanya.

Hakim Izralizam Sanusi berkata, mahkamah akan membuat keputusan sama ada Siti Bainun bersalah atau tidak pada 3 Mei ini.

“Mahkamah merekodkan bahawa pihak pembelaan menutup kes pada hari ini. Mahkamah mengarahkan pihak-pihak mengemukakan hujahan bertulis di akhir kes pembelaan dan mahkamah dan diserahkan kepada pihak lawan. Tidak mahu ada komen atau aduan tidak menerima.

“Jadi 7 April 2023 untuk hujahan dikemukakan dan diberikan kepada lawan masing-masing. Sekiranya ingin menjawab maka saya berikan tarikh hujahan balas selama seminggu yang mana pihak kemukakan hujahan balas pada atau sebelum 14 April 2023.

“Mahkamah tangguhkan kes untuk memutuskan keputusan di akhir kes pembelaan kepada tertuduh dan mahkamah dengan ini melanjutkan jaminan kamu sehingga 3 Mei jam 10 pagi untuk keputusan,” katanya.

Prosiding hari ini, dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad, Zilfinaz Abbas dan Shakira Aliana Alias.

Untuk rekod, Siti Bainun diarah membela diri atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya Bella, 13, sehingga mangsa mengalami kecederaan fizikal dan emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021.

Tertuduh berdepan hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Loading...
Terkini