comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Nelayan, pembuat bot didakwa edar dadah hampir RM3.8 juta

Oleh Baharuddin Mohamed

MELAKA: Dua nelayan dan seorang pembuat bot antara empat yang dituduh di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas dua tuduhan mengedar dadah seberat hampir 100 kilogram bernilai RM3.8 juta, awal bulan ini.

Kesemua tertuduh, Mohd. Nor Fazdli Kamarudin, 38, Muzairi Mustapa, 44, dan isteri Muzairi, Rozita Ab. Wahab, 41, serta Mohd. Najib Jaafar, 44, dihadapkan dengan pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Tan Chai Wei.

Kesemua tertuduh hanya mengangguk faham dan tiada sebarang pengakuan direkodkan.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh secara bersama-sama didakwa mengedar dadah jenis methamphetamine dengan berat kasar 82,640 gram di sebuah rumah di Taman Serkam Jaya, Merlimau dalam daerah Jasin pada jam 3 petang, 4 Januari lalu.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh secara bersama-sama didakwa mengedar dadah jenis 3-4 Methylenedioxy methamphetamine (MDMA) dengan berat kasar 16,620 gram di lokasi, masa dan tarikh yang sama.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati mengikut Seksyen 39B (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Izudddin Said, manakala hanya Mohd. Nor Fazdli diwakili Peguam Salim Bashir.

Mahkamah kemudian menetapkan tarikh 14 Mac depan sebagai sebutan semula kes dan serahan laporan kimia.

Pada 6 Januari lalu, media melaporkan, polis memberkas lapan individu termasuk nelayan selepas dipercayai terlibat dalam sindiket dadah antarabangsa bernilai RM3.8 juta yang disimpan di sebuah rumah di kawasan Serkam, Merlimau.

Kesemua suspek yang berusia 28 sehingga 48 tahun ditahan oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan Melaka dalam tiga serbuan berasingan di daerah ini dan satu di Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, tangkapan tersebut turut melibatkan dua pasangan suami isteri yang ditahan di Serkam.

Kesemua suspek disyaki terlibat dalam sindiket pengedaran dadah keluar negara dan telah aktif sejak awal 2022.

Loading...
Terkini