comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Noh, Mizz Nina masing-masing dakwa miliki dokumen sebagai penjaga sah Musa

SHAH ALAM: Penyanyi yang juga vokalis kumpulan Hujan, Noh Salleh mendakwa bekas isterinya, Mizz Nina bukanlah satu-satunya penjaga sah ke atas anak angkat mereka, Musa.

Noh atau nama sebenarnya, Muhammad Noh Salleh mendakwa sehingga hari ini, Mizz Nina gagal menunjukkan akuan berkanun atau dokumen sokongan yang mengesahkannya sebagai penjaga tunggal Musa.

Penyanyi, Noh Salleh ketika bercakap dengan wartawan selepas menghadiri perbicaraan penarikan balik kes penjagaan anak angkat oleh Mizz Nina di Mahkamah Syariah Shah Alam. FOTO: NSTP

“Ibu kandung Musa membenarkan saya menjaganya menerusi akuan berkanun yang dia sendiri serahkan kepada saya. Kami sudah buktikan dan tunjuk surat kepada Mizz Nina. Nama saya juga dinyatakan sebagai penjaga sah Musa dalam dokumen yang saya sendiri daftarkan di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tanpa ditemani Mizz Nina.”

“Jadi, mana kebenaran atas dakwaan yang nama saya tidak dinyatakan dalam dokumen tersebut? Apa buktinya yang dia (Mizz Nina) penjaga tunggal Musa yang sah? Mana dokumen sokong dakwaan berkenaan?” tanya Noh.

Sementara itu, peguam mewakili Noh, Megat Syazlee Mokhtarom dan Muhammad Shamsyuar Jasmin menyifatkan hujah digunakan oleh Mizz Nina sama seperti keterangan Noh yang menyatakan Musa diserahkan oleh ibu kandung Musa yang hanya mahu dikenali sebagai Athira.

“Dia kata mana boleh ambil Musa tanpa kebenaran. Jadi, hujahan sama Noh katakan yang ibu kandungnya serah Musa kepadanya.”Jadi apa bezanya? Bila kes sudah ditarik balik tiada perintah mahkamah siapa yang layak menjaga,” katanya.

Semalam, Mizz Nina bertindak memfailkan penarikan semula kes penjagaan penuh dan inter-parte hak penjagaan sementara bagi Musa.

Terdahulu, Mizz Nina mendakwa Noh membawa keluar Musa tanpa kebenaran dan pengetahuannya.

Mizz Nina mengakui, ia disifatkan sebagai satu pengkhianatan dan memberikan kesan emosi kepadanya, apatah lagi, dirinya adalah ibu susuan Musa dan tidak pernah berjauhan dengan anak angkatnya selama itu.

Pagi tadi, Noh hadir ke Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam bagi proses perbicaraan penarikan balik untuk kes penjagaan penuh inter-parte bagi hak penjagaan sementara bagi Musa yang difailkan oleh Miss Nina.

Miss Nina dalam kenyataannya berkata tiada pertikaian sepatutnya berlaku kerana beliau mempunyai dokumen lengkap sebagai penjaga Musa yang sah.

Penyanyi, Mizz Nina ketika bercakap dengan wartawan selepas perbicaraan penarikan balik kes penjagaan anak angkatnya, Musa di Mahkamah Syariah Shah Alam. FOTO: NSTP

“Saya hadir ke mahkamah hari ini untuk menghormati prosedur mahkamah dan mengesahkan kami mempunyai dokumen pengangkatan yang mana tidak tertulis namanya (Noh). Jadi, dengan ada dokumen ini bermaksud tiada pertikaian.

Salah seorang peguam syarie yang mewakili beliau, Fakhrul Azman Abu Hassan pula berkata Mizz Nina adalah ibu angkat Musa yang sah, justeru itu tiada isu berbangkit kerana kedua-dua kes sudah rasmi ditarik balik.

“Tiada isu apa-apa, seperti siapa yang nak melawat sebagainya. Kami sudah tarik balik kedua-dua kes dan mahkamah sudah benarkan kami untuk menarik balik.”

“Hak anak angkat juga sudah diberikan sepenuhnya kepada Mizz Nina, jadi tiada isu seperti kes hak penjagaan. Ini kes anak angkat bila anak angkat itu sudah diberikan kepada Mizz Nina sepenuhnya, jadi tiada siapa boleh melawat. Keputusan muktamad adalah ibu kandung Musa memutuskan untuk memberi hak penjagaan penuh kepada Mizz Nina,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini