comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Notis Writ Saman Kakak Jho Low Menerusi Akhbar Singapura

Jho Low

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan rayuan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk mendapatkan perintah penyampaian ganti bagi menyerahkan notis writ saman kepada May Lin, kakak ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

Peguam mewakili 1MDB, K Siva Kumar, berkata Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz, bersetuju penyampaian ganti menerusi iklan pada akhbar The Straits Times di Singapura kerana May Lin dipercayai berada di negara itu.

Beliau berkata, ia selepas pihaknya berhujah bahawa dua percubaan penyampaian notis itu secara peribadi gagal.

“Kami juga hantar surat janji temu tetapi gagal (tiada maklum balas), kerana diberitahu oleh pemastautin bahawa May Lin tidak tinggal di sana (alamat dalam rekod).

“Oleh itu, penyampaian secara peribadi tidak praktikal, maka kami memohon untuk penyampaian ganti selaras kuasa mahkamah mengikut Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.

“Rayuan kami terhadap keputusan Penolong Kanan Pendaftar, Haslinda A Raof, sebelum ini yang menolak permohonan untuk membuat penyampaian ganti itu. Keputusan pendaftar itu diketepikan dan rayuan penyampaian ganti dibenarkan,” katanya kepada BH, hari ini.

Pengurusan kes seterusnya ditetapkan pada Jumaat ini.

Pada 7 Mei 2021, 1MDB dan empat anak syarikatnya, iaitu Global Diversified, 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited dan 1MDB Energy (Langat) Limited, memfailkan saman AS$3.7837 bilion (RM15.9 bilion) terhadap May Lin, Jho Low; bapa, Tan Sri Larry Low Hock Peng; ibu, Puan Sri Goh Gaik Ewe; adik lelaki, Taek Szen serta rakan sekutu Jho Low, Eric Tan Kim Loong.
Berdasarkan writ saman itu, 1MDB menuntut AS$661 juta (RM2.8 bilion) daripada Jho Low; masing-masing AS$41 juta (RM172 juta), AS$397 juta (RM1.7 bilion), AS$608 juta (RM2.5 bilion) dan AS$1.9 bilion (RM8 bilion) daripada Jho Low dan Kim Loong; serta AS$325 juta (RM1.4 bilion) daripada Jho Low dan bapanya.

1MDB Global Investments Limited pula menuntut AS$630 juta (RM2.6 bilion) daripada Hock Peng, Jho Low dan Kim Loong, serta AS$2 juta (RM8.4 juta) daripada Taek Szen, Jho Low dan Kim Loong.

Plaintif turut menuntut AS$3.5 juta (RM14.7 juta) daripada May Lin dan Jho Low serta AS$1.695 juta (RM7.1 juta) daripada Gaik Ewe, Jho Low dan Kim Loong berhubung pembelian barang kemas serta keuntungan rahsia, selain AS$25.5 juta (RM107.1 juta) daripada Jho Low, Kim Loong, Hock Peng dan Taek Szen – BERITA HARIAN.

Loading...
Terkini