Oleh: Selwam Arjunan
BUTTERWORTH: Dua lelaki warga United Kingdom dihukum penjara enam bulan dan denda RM100,000 masing-masing selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, atas pertuduhan terbabit dalam sindiket penipuan dalam talian antarabangsa.
Kedua-dua tertuduh, Lloyd George Bedwell, 48, dan Roger Hoi Wing Wu, 46, mengaku bersalah ketika pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam Bahasa Inggeris di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.
Mengikut pertuduhan pilihan kepada pertuduhan pertama, George Bedwell dan Wing Wu secara bersama seorang lagi yang masih bebas, Jacob Yazdi pada 16 Disember 2022 di Island Plaza Tower, Tanjung Tokong, Pulau Pinang dengan niat bersama menipu seorang warga Austria, Trevor Ronald John Curtis untuk membeli saham di syarikat Devon Energy Corporation.
Tindakan tertuduh menyebabkan mangsa menyerahkan wang berjumlah AUD 8,991.92 untuk tujuan pelaburan di mana mangsa tidak akan berbuat demikian jika tidak diperdayakan.
Bagi pertuduhan pilihan kedua, George Bedwell dan Wing Wu bersama Jacob Yazdi secara bersama pada 5 Januari 2023 di lokasi sama telah menipu seorang warga Austria, Kimberley John Bruist Walker untuk membuat pelaburan dalam syarikat sama, yang mana mangsa tidak akan menyerahkan wang sebanyak AUD 8,573 jika tidak diperdaya.
Berikutan itu, tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 akta sama.
Hukuman penjara ke atas kedua-dua tertuduh berkuatkuasa sejak mereka ditahan pada 22 Februari lalu, selain perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Sebelum ini dilaporkan, kedua-dua tertuduh ditahan dalam Op Tropicana pada 21 Februari lalu di sekitar Lembah Klang dan Pulau Pinang membabitkan beberapa agensi penguatkuasa diketuai SPRM susulan aduan dari mangsa warga Australia dan United Kingdom yang mendakwa ditipu anggota sindiket berkenaan.