Tumpuan :
Mahkamah

‘Pakaian Zaharif terkoyak, ada kesan geseran’ – Saksi

Pegawai kanan polis, Mohd Nazri Abdul Razak, 44, dibawa ke Mahkamah Tinggi di sini hari ini bagi menghadiri perbicaraan hari enam kes bunuh yang dihadapinya. Mohd Nazri didakwa menyebabkan kematian seorang pelajar 17 tahun, Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie dengan melanggar mangsa menggunakan kereta di Jalan Taman Jati, Meru, pada Disember tahun lalu. – FOTO: NSTP

IPOH: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini dimaklumkan pakaian Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, selepas mangsa dilanggar dan digilis Perodua Ativa dipandu seorang pegawai kanan polis, Disember tahun lalu mempunyai kesan geseran dan koyakan.

Saksi pendakwaan kesepuluh iaitu seorang remaja lelaki berkata, ketika kejadian dia dan empat rakannya berada di bahu jalan tidak jauh daripada lokasi perlanggaran terbabit.

Menurutnya, ketika kejadiaan, mangsa memakai baju Pendidikan Jasmani Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati yang berwarna hitam dan merah jambu, serta berseluar panjang.

Saksi itu memberi keterangan terbabit ketika pemeriksaan balas oleh Peguam M Athimulan di hadapan Hakim Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet, pada prosiding perbicaraan yang memasuki hari keenam.

Athimulan: Apabila Zaharif tercampak atas jalan, kamu nampak Zaharif. Apa pakaian dia pakai semasa tu?

Saksi: Pakaian baju PJ sekolah, warna hitam dan warna pink.

Athimulan: Seluar pendek ke panjang?

Saksi: Panjang

Athimulan: Pakai kasut atau selipar?

Saksi: Tak ingat

Athimulan: Ketika kamu hampiri Zaharif, ada kamu cuba bantu cuba sentuh atau angkat bawa dia?

Saksi: Tidak

Athimulan: Apabila kamu nampak Zaharif atas jalan, ada nampak baju atau seluar sudah koyak?

Saksi: Ada

Athimulan: Ada apa-apa kesan atau tanda geseran atas pakaian?

Saksi: Ada

Saksi itu juga berkata dia melihat kereta Ativa dan motosikal Yamaha LC ditunggang Zaharif bergerak dari arah Masjid Muhammad Al-Fateh ke arah persimpangan sekolah sebelum perlanggaran terbabit terjadi.

Athimulan: Sebelum kamu nampak kereta Ativa dan motosikal ditunggang Zaharif berlanggar, kamu ada nampak kedua-dua kenderaan itu datang dari arah masjid?

Saksi: Saya ada nampak kedua-duanya.

Athimulan: Berapa jauh jarak antara lokasi kamu nampak kedua-dua kenderaan itu dengan lokasi perlanggaran?

Saksi: Anggaran dalam lima hingga 10 meter.

Ditanya sama ada dia pernah melihat mangsa membawa motosikal ke sekolah, saksi kanak-kanak itu menjawab pernah melihat kadang-kadang namun tidak pasti sama ada mangsa pernah rem (memulas pendikit) motosikalnya atau sebaliknya sebelum kejadian terbabit.

Saksi berkata, sebaik perlanggaran antara dua kenderaan itu berlaku, dia tidak perasan keadaan kerosakan pada motosikal mangsa kerana perhatiannya tertumpu pada Zaharif yang tercampak ke atas jalan.

“Saya tidak rakam kejadian terbabit. Saya tiada telefon bimbit ketika kejadian dan saya tidak pasti sama ada orang lain ada membuat rakaman atau tidak,” katanya.

Mengikut pertuduhan, Mohd Nazri Abdul Razak, 45, didakwa membunuh Muhammad Zaharif di Jalan Taman Jati 1 berhampiran SMK Jati antara jam 11.45 pagi hingga 12.32 tengah hari 15 Disember 2023.

Pegawai kanan polis berpangkat Deputi Superintendan itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun dan sebatan minimum 12 kali, jika sabit kesalahan.

Pasukan pendakwaan dibarisi Timbalan Pendakwaan Raya Afzainizam Abdul Aziz, Nasrul Hadi Abdul Ghani, V Suloshani dan Low Qin Hui manakala tertuduh diwakili peguam Athimulan, Datuk Mior Faridalathrash Wahid dan Aiman Hakim Kamaruzzaman.

Prosiding perbicaraan ditangguhkan sebentar dan akan disambung petang ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini