comscore
Tumpuan :
Mahkamah

[VIDEO] Papagomo didakwa atas pertuduhan menghasut yang mendatangkan kebencian terhadap Sultan Ibrahim

 

KUALA LUMPUR: Blogger Wan Muhammad Azri Wan Deris atau Papagomo mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menghasut yang mendatangkan kebencian terhadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

Wan Muhammad Azri, 41, yang juga bekas Exco Pemuda UMNO didakwa menerbitkan penerbitan menghasut berkaitan isu pemilik KK Supermart & Superstore Sdn Bhd mengadap Sultan Ibrahim di laman Twitter atau X miliknya.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Bukit Bintang, di sini, pada 12 tengah hari, 29 April lalu mengikut Perenggan 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan ke atas Wan Muhammad Azri dibacakan di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Khairul Azreem Mamat, Mohd Sabri Othman dan Abdul Malik Ayob manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Rafique Rashid Ali dan Logen Eskander Abdullah.

Susulan pengakuan tidak bersalah itu, Timbalan Pendakwa Raya, Khairul Azreem mencadangkan tiada sebarang jaminan terhadap tertuduh dan jika tidak perlu ditetapkan pada jumlah tinggi atas faktor kesalahan membabitkan Yang di-Pertuan Agong.

“Pihak pendakwaan juga memohon perintah larangan supaya tertuduh tidak mengeluarkan sebarang komen atau kenyataan umum mengenai kes terbabit.”

“Alasan permohonan itu kerana jenis dan sifat kesalahan yang dibuat secara dalam talian dan ia bukan kesalahan biasa. Perintah larangan atau ‘gag order’ perlu bagi memastikan perjalanan kes tidak dikacau ganggu.”

“Perintah ini perlu sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengekalkan ketenteraman awam dan memastikan tiada komen yang dapat menyebabkan provokasi antara satu sama lain,” katanya.

Peguam Papagomo, Muhammad Rafique berkata pertuduhan dihadapi anak guamnya itu adalah kesalahan yang boleh dijamin.

“Saya mohon mahkamah mengekalkan jaminan RM10,000 untuk keseragaman kesalahan kes sama sebelum ini.

“Untuk menggunakan ‘gag order’ seperti seolah-olah terjumlah kepada satu hukuman. Dengan rendah diri, saya memohon jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dan perintah larangan ditolak,” katanya.

Siti Aminah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin, selain syarat tambahan Papagomo perlu melaporkan diri ke balai polis setiap bulan hingga kes selesai.

“Perintah larangan bersuara tidak dibenarkan dan mahkamah tetapkan 23 Mei ini untuk sebutan semula kes,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan polis menahan Wan Muhammad Azri kelmarin kerana disyaki mengeluarkan kenyataan mengaibkan Yang di-Pertuan Agong.

Kenyataan itu dikesan dalam satu hantaran video berdurasi dua minit 46 saat yang memaparkan Papagomo didakwa mempersoalkan tindakan Agong bertemu pemilik kedai serbaneka KK Mart di Istana Negara.

Hantaran video itu turut dikatakan mendakwa bahawa baginda mengarahkan Ahli Jawatankuasa Penerangan Bersatu, Badrul Hisham Shaharin atau Chegu Bard, dituduh di mahkamah mengikut Akta Hasutan 1948.

Menurut hantaran di laman Facebook Sultan Ibrahim sebelum ini, Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Chai Kee Kan memohon maaf kepada baginda serta seluruh umat Islam berhubung isu penjualan stoking yang tertera kalimah ‘Allah’ di beberapa cawangan kedai serbaneka itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini