comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Pasangan suami isteri didakwa abai anak sehingga meninggal dunia

Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah

KEMAMAN: Sepasang suami isteri, didakwa di Mahkamah Sesyen Kemaman, Terengganu, atas pertuduhan mengabaikan anak perempuan mereka sehingga meninggal dunia.

Tertuduh, Shafina Azlin Shahdan dan Azman Awang, masing-masing berusia 46 dan 47 tahun, mengangguk faham dan mohon dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Wan Suhaila Mohd.

Mengikut pertuduhan, kedua-duanya secara bersama sebagai ayah dan ibu kandung ke atas Azreen Naquin, berusia 14 tahun, telah mengabaikan mangsa sehingga menyebabkan mangsa meninggal dunia akibat penyakit pneumonia.

Kesalahan didakwa dilakukan pada 2 November 2023, jam 9.30 malam sehingga 10.45 malam, bertempat di sebah rumah di Taman Alam Perdana Binjai, Kemaman, Terengganu.

Pasangan suami isteri itu telah melakukan kesalahan di bawah seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya.

Mahkamah kemudiannya membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 setiap seorang dengan seorang penjamin.

Kedua-dua tertuduh juga dikenakan syarat tambahan perlu melapor diri ke balai polis terdekat.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Syairah Mohamad Razali dan mahkamah menetapkan 30 Mei depan sebagai sebutan semula kes.

Sebelum ini, polis menerima maklumat berkenaan kematian kanak-kanak itu di kediaman mereka pada 2 November lalu.

Ketika disoal siasat, pasangan itu gagal mengemukakan apa-apa dokumen pengenalan diri anaknya dan pasangan itu disyaki telah menyembunyikan kelahiran si mati sejak tahun 2009.

Hasil siasatan awal polis mendapati kelahiran si mati tidak pernah didaftarkan dan dia tidak pernah dibawa ke mana-mana klinik untuk mendapatkan rawatan dan suntikan vaksin serta tidak pernah bersekolah.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini