comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Pasangan suami isteri didakwa abai bayi 9 bulan hingga alami kecederaan

JOHOR BAHRU: Sepasang suami isteri yang juga pengasuh kepada seorang bayi berusia 9 bulan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas tuduhan mengabai hingga menyebabkan kecederaan, bulan lalu.

Kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan hakim, Rasidah Roslee.

Lim Zhen Jie, 31, dan isteri, Vivian Lau, 29, yang diberi tanggungjawab menjaga mangsa didakwa secara bersama telah mengabaikan kanak-kanak itu hingga mengalami kecederaan di bahagian kepala.

Perbuatan itu dilakukan antara 19 Mac hingga 25 April lalu di sebuah rumah di Jalan Kejayaan, Taman Universiti, Johor Bahru.

Pasangan itu didakwa di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.

Sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksima  20 tahun atau denda tidak melebihi RM50,000 atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, S. Thiviya manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Muhammad Mohd Nasir.

Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh  diikat jamin RM8,000 setiap seorang.

Mahkamah turut memerintahkan pasangan berkenaan  menyerahkan pasport kepada mahkamah.

6 Jun depan ditetapkan tarikh sebutan semula kes bagi serahan laporan perubatan dan bedah siasat mangsa.

26 April lalu, kira-kira  jam 3.50 pagi, seorang bayi perempuan berusia sembilan bulan dipercayai mangsa dera meninggal dunia di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru.

Susulan itu polis menahan empat individu termasuk pasangan suami isteri berkenaan bagi membantu siadatan.

Bagaimanapun usaha mengesan ibu bapa mangsa warga Vietnam masih gagal.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini