comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Pasangan suami isteri mengaku tidak bersalah terima deposit wang tanpa lesen

Tertuduh, Suchart Ee@Quah dan isterinya, Kamontip Chu@Chim dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di Ayer Keroh hari ini atas pertuduhan menerima deposit berjumlah lebih RM68,000 empat tahun lalu

AYER KEROH: Bekas pengarah syarikat pelaburan dan isterinya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini hari ini atas pertuduhan menerima deposit berjumlah lebih RM68,000, empat tahun lalu.

Tertuduh, Suchart Ee@Quah, 58, dan isterinya, Kamontip Chu@Chim, 50, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.

Mengikut pertuduhan, mereka yang berasal dari Arau, Perlis dituduh bersama suspek yang masih bebas menerima deposit daripada Jamaluddin Jaafar, 57, berjumlah RM68,385 tanpa lesen sah mengikut Seksyen 10 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Akta 758).

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Syarikat Giganation Gib Berhad beralamat di Jalan BBP 1, Taman Bukit Beruang Permai pada 22 Januari 2020.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 137 (1) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 137 (2) akta sama dan dibacakan bersekali Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan boleh dihukum maksimum 10 tahun penjara atau denda tidak melebihi RM50 juta.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Syazwanie Marizan menawarkan jaminan RM12,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.

Peguam S Daniel yang mewakili kedua-dua tertuduh bagaimanapun memohon jaminan rendah dengan alasan tertuduh menjaga ibu yang lumpuh dan tiga anak yang tidak bekerja.

Katanya, anak guamnya kini tidak bekerja dan menggunakan wang simpanan untuk membayar ikat jamin serta sudah memulangkan semula separuh wang kepada pengadu kes.

Peguam juga menyatakan tertuduh berdepan tujuh pertuduhan berkaitan seksyen sama di Mahkamah Sesyen Butterworth dan Sungai Petai, Kedah sebelum ini dan sudah membayar jaminan berjumlah RM65,000.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin untuk kedua-dua tertuduh dan menetapkan 11 Jun depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

Kedua-dua tertuduh juga dikenakan syarat tambahan melapor diri di balai polis berhampiran sekali bulan sehingga kes selesai dan tidak boleh mengganggu saksi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini