comscore
Tumpuan :
Mahkamah

[VIDEO] Pegawai kastam mengaku tidak bersalah terhadap 43 tuduhan rasuah 

SEREMBAN: Pegawai Kastam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, terhadap 43 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM69,350 sebagai balasan tidak memeriksa lori milik sebuah syarikat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Semua pertuduhan terhadap Mohammad Zyed Ibrahim, 41, dibacakan di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.

Berdasarkan pertuduhan, Mohammad Zyed sebagai seorang Penguasa Kastam Gred WK41 yang bertugas di Jabatan Kastam Diraja Malaysia KLIA, telah secara rasuah memperoleh untuk dirinya satu suapan iaitu wang berjumlah keseluruhan RM690,350 daripada pemilik sebuah syarikat melalui pemindahan dalam talian ke akaun bank tertuduh.

Tindakan itu sebagai dorongan untuk tidak melakukan sesuatu perbuatan berhubung dengan hal ehwal prinsipal tertuduh tidak memeriksa lori-lori milik sebuah syarikat yang membawa keluar barang dari kargo KLIA.

Perbuatan itu dilakukan dari 16 September 2017 hingga 6 Januari 2022 di sebuah cawangan bank dekat Jalan Besar, Nilai.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 [Akta 694] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

Mana-mana orang yang melakukan kesalahan di bawah seksyen 16, 17, 20, 21, 22 dan 23 hendaklah apabila disabitkan boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 20 tahun.

Boleh juga didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi perkara kesalahan itu, jika suapan itu boleh dinilai atau bersifat kewangan, atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pasukan pendakwaan yang dibarisi Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Muhammad Asraf Mohamed Tahir, Nurul Atiqah Mohamad Alias dan Mohd Afif Ali membantah sebarang jaminan diberikan kepada tertuduh.

“Jelas tindakan tertuduh menerima suapan suatu pengkhianatan kepada masyarakat dan imej negatif kepada Kastam. Kesalahan rasuah juga merupakan kesalahan serius selain tertuduh juga mempunyai risiko untuk melarikan diri,” katanya.

Ini kerana katanya, tertuduh tidak pernah menghubungi atau menyerah diri kepada SPRM walaupun iklan pencariannya telah dibuat di media tempatan, malah mengambil masa selama 65 hari untuk mengesan tertuduh sebelum ditahan di Bintulu, Sarawak, pada 7 Mei lalu.

Peguam tertuduh, Muhamad Aizat Fakri merayu supaya anak guamnya diberikan jumlah jaminan yang berpatutan atas alasan dia adalah bapa tunggal kepada seorang anak berusia lima tahun.

Katanya, tertuduh sanggup dikenakan syarat tambahan dan memohon dikenakan jaminan sebanyak RM10,000.

Mahkamah kemudiannya memutuskan untuk tidak memberikan sebarang jaminan kerana mengambil kira risiko tertuduh melarikan diri berdasarkan rekod perjalanan siasatan.

Sebutan semula pada 14 Jun depan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini