MELAKA: Seorang pegawai sains sebuah universiti awam dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini, atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak tiri perempuan, lima tahun lalu.
Tertuduh berusia 39 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Azaraorni Abd Rahman dan minta dibicarakan atas pertuduhan berkenaan.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja perempuan yang berusia 16 tahun ketika kejadian di sebuah rumah di Ayer Tawar, antara 15 hingga 31 Disember 2019, sekitar 2 hingga 3 pagi.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.
Berikutan tertuduh tidak mengaku bersalah, Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ehsan Nasarudin memohon tarikh baharu bagi serahan dokumen dan menawarkan jaminan RM30,000 dengan syarat tambahan dilarang mengganggu mangsa, pasport diserah kepada mahkamah dan melapor diri dua minggu sekali di balai polis.
Peguam Chua Yong Yi merayu jaminan dikurangkan atas beberapa alasan termasuk tertuduh menanggung isteri tidak bekerja dan kini sarat mengandung berserta tiga anak bersekolah berusia lapan, 15 dan 17 tahun.
Katanya, tertuduh turut menghidap penyakit jantung dan kini tidak lagi berhubungan dengan mangsa yang tinggal bersama ayah kandung di Kuala Lumpur.
Mahkamah membenarkan jaminan RM9,000 dengan seorang penjamin warga tempatan berserta syarat seperti dipohon pendakwaan dan kes ditetapkan untuk sebutan pada 9 Disember depan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.