comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Pegawai Veterinar berdepan 4 pertuduhan salah guna kuasa

Tertuduh, Mohd Hisham Daud, 46, mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan salah guna kuasa.

Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah

KUALA TERENGGANU: Seorang Pegawai Veterinar yang berkhidmat di Jabatan Veterinar Negeri Terengganu, didakwa di Mahmah Sesyen Kuala Terengganu atas empat pertuduhan menyalahgunakan jawatannya bagi mendapatkan suapan untuk diri sendiri melalui perolehan kerja pembaikan kenderaan jabatan.

Tertuduh, Mohd Hisham Daud, 46, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mohd Azhar Othman.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa atas kesalahan meluluskan dokumen indent kerja atau pesanan tempatan bagi kerja membekal alat ganti dan menyelenggara kenderaan jabatan kepada Syarikat Serangkai Automobiles Sdn Bhd.

Keseluruhannya bernilai RM8,578.69 yang mana sebenarnya perkhidmatan tersebut tidak dilaksanakan oleh syarikat terbabit.

Kesalahan tersebut dilakukan tertuduh di antara Mac 2019 sehingga Jun 2020.

Mohd Hisham didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) Akta yang sama.

Sabit Kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun dan denda.

Mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin.

Selain itu mahkamah turut menetapkan syarat tambahan dimana tertuduh dilarang mengganggu saksi-saksi pendakwaan serta perlu menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah dan arahan lapor diri ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terdekat sebelum 7 hari bulan setiap bulan sehingga kes selesai.

10 Jun 2024 ditetapkan sebagai tarikh pengurusan kes.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwaraya Mariah Omar dan Pegawai pendakwa, Nur Raihan Mohd Yusof, manakla tertuduh tidak diwakili peguam.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini