comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Peguam dilantik TMJ sedia bantu prosiding seterusnya kes Bella

Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali, hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk perbicaraan kes pengabaian dan penganiayaan remaja Sindrom Down berusia 13 tahun dikenali Bella, di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. – Foto: NSTP

JOHOR BAHRU: Kumpulan peguam pemerhati yang dilantik Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bagi kes mengabai dan menganiaya seorang remaja perempuan sindrom Down dikenali sebagai Bella bersedia untuk membantu pada prosiding pihak pembelaan kelak yang dijadualkan bermula 5 Disember depan.

Empat peguam terbabit iaitu Datuk Baljit Singh Sidhu, Datuk Khairul Anwar Rahmat, Datuk Ikbal Salam, Mohd Radzi Yatiman.

Menerusi suatu kenyataan daripada kumpulan peguam berkenaan, dimaklumkan ia susulan Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur memerintahkan pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali membela diri atas dua pertuduhan terbabit.

“Kami menzahirkan penghargaan atas kerjasama semua pihak terutamanya pihak mahkamah, Timbalan Pendakwa Raya dan Peguambela dalam memastikan kelancaran perbicaraan kes adik Bella sehingga akhir kes pendakwaan ini.

“Keutamaan perlu diberikan untuk kes ini memandangkan mangsa, yakni adik Bella tentunya mengalami trauma dari segi fizikal dan emosi lanjutan kecederaan yang dialami dan kami mahu adik Bella ini meneruskan kehidupan baharu secepat mungkin.

“Sesungguhnya keadilan bagi kes ini perlu diperoleh segera supaya ibu bapa dan atau penjaga khususnya terhadap anak kurang upaya memandang serius terhadap aspek-aspek kebajikan anak-anak dalam peliharaan mereka,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpurmemerintahkan Siti Bainun membela diri atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya Bella.

Hakim Izralizam Sanusi membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Siti Bainun, 30, di akhir kes pendakwaan.

Siti Bainun didakwa mengabai dan menganiaya remaja perempuan Sindrom Down berusia 13 tahun itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021 mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Loading...
Terkini