comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Peguam Yassin mahu panggil pakar psikiatri beri keterangan

Foto NSTP

PETALING JAYA: Perbicaraan kes dadah penyanyi nasyid dan komposer Yasin Sulaiman, pihak pembelaan mahu memanggil Pakar Perunding Forensik Psikiatri Hospital Bahagia Ulu Kinta, Dr Ian Lloyd Anthony untuk memberi keterangan.

Peguam kepada penyanyi itu, Ariff Azami Hussein berkata beliau memohon budi bicara mahkamah supaya satu sepina dikeluarkan terhadap pakar terbabit yang akan dijadikan sebagai saksi.

Artikel berkaitan: Yasin disahkan tidak waras ketika kejadian kes dadah

“Tarikh bicara pada 28, 29 Ogos ini diteruskan, itu yang pertama. Keduanya, kami mohon budi bicara mahkamah untuk satu sepina dikeluarkan terhadap saksi berkenaan.

“Mohon satu sepina dikeluarkan oleh mahkamah bertujuan perbicaraan kes pembelaan dan kami percaya ia tidak dibantah pihak pendakwaan,” katanya ketika pengurusan kes di hadapan Hakim, Faiz Dziyauddin, hari ini.

Susulan itu, Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, mengesahkan tidak membantah permohonan sepina itu, selain akan memanggil antara lapan hingga 10 saksi pada perbicaraan berkenaan.

Artikel berkaitan: Yasin diperintah untuk dirujuk ke Tanjung Rambutan

“Pihak pendakwaan mendapat arahan tarikh bicara ditetapkan mahkamah sebelum ini pada 28 dan 29 Ogos ini diteruskan,” katanya.

Hakim kemudian membenarkan permohonan sepina dan mengekalkan tarikh bicara itu.Sementara itu, Ariff Azami ketika ditemui media berkata, keadaan anak guam bertambah baik dan bersemangat.

“Pihak keluarga pun tetap hadir (ke mahkamah) memberi semangat dan ibunya pun kali pertama datang.

“Saya tak benarkan ibu Yasin hadir atas faktor usia, namun ini memberi semangat kepada anak guam,” katanya.

6 Julai lalu, media melaporkan laporan psikiatri Yasin dikeluarkan hospital itu antara lain mengesahkan penyanyi nasyid dan komposer berkenaan tidak waras ketika kejadian membabitkan dadah, tahun lalu.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Zuhaini Mahamad Amin, berkata keadaan mental penyanyi itu bertambah baik sekali gus layak dibicarakan dan boleh membela diri atas tuduhan kes dadah.

31 Mac tahun lalu, Yasin, 48, yang terkenal melalui lagu ‘Mimpi Laila’ berdepan hukuman gantung sampai mati selepas didakwa di Mahkamah Majistret atas tuduhan mengedar dadah jenis ganja di kediamannya, 24 Mac tahun sama.

Bagaimanapun, Yasin terlepas daripada hukuman gantung selepas mahkamah melepas tanpa membebaskannya daripada tuduhan berkenaan sebelum didakwa atas tuduhan memiliki ganja.

Loading...
Terkini