Tumpuan :
Mahkamah

Pekebun didakwa ceroboh bangunan terbiar untuk aktiviti paranormal

Tertuduh dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Yong Peng. FOTO: NSTP

BATU PAHAT: Seorang pekebun mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Yong Peng hari ini, atas pertuduhan menceroboh bangunan terbiar kononnya mahu melakukan aktiviti paranormal, Sabtu lalu.

Tertuduh, Muhamad Zainudin Asaron, 20, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Suhaila Shafi’uddin selepas pertuduhan dikemukakan oleh jurubahasa terhadapnya.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan pencerobohan jenayah dengan memasuki kawasan bangunan milik lelaki berusia 47 tahun di Bukit Pasir, di sini pada 1.36 tengah hari.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga enam bulan atau denda RM3,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Menurut fakta kes, polis menerima laporan daripada pengadu pada jam 3.20 petang hari kejadian, memaklumkan bangunan yang pernah dijadikan pusat beli-belah miliknya diceroboh individu tidak dikenali.

Siasatan polis mendapati kejadian berlaku pada jam 1.36 tengah hari dan hasil maklumat diperolehi membawa kepada penangkapan tertuduh.

Berdasarkan siasatan polis, tertuduh mendakwa dia ke bangunan terbabit untuk melakukan aktiviti paranormal bersama rakan lain sebaliknya mereka tidak muncul.

Tertuduh kemudian ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat untuk siasatan lanjut.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Wahidah Mohd Sharip manakala tertuduh diwakili Tan Song Yan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Memandangkan tertuduh dikategorikan sebagai pesalah muda, mahkamah menetapkan 23 Disember depan untuk laporan sosial daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebelum diberikan sebarang perintah terhadapnya.

Pada masa sama, mahkamah juga membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini