
MUAR: Seorang pekebun dihadapkan ke Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan melakukan khianat memecahkan cermin kereta menggunakan topi keledar dalam kejadian amuk, Jumaat lalu.
Tertuduh, Gan Choon Teck, 55, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan dan Majistret Suzana Mokhtar menjatuhkan hukuman denda RM1,600 terhadapnya.
Mahkamah juga memerintahkan tertuduh dipenjara setahun sekiranya gagal membayar denda.
Dia didakwa melakukan khianat dengan memecahkan cermin kereta milik lelaki berusia 48 tahun di hadapan sebuah rumah, di Taman Bintang, Parit Jawa di sini, 3 pagi, 10 Januari lalu.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh berkunjung ke rumah mangsa pada jam 1 pagi dengan menekan loceng berkali-kali sebelum lelaki itu keluar.
Tertuduh membuat bising serta memecahkan cermin hadapan kereta mangsa menggunakan topi keledar dengan tertuduh ditahan pada jam 3.20 pagi hari sama.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aqiilah Ahmad Rofaie manakala tertuduh diwakili Tan Xi Ran daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.